Home Semasa SU Akhbar, Unit Komunikasi jentera utama kerajaan, perlu tangkis fitnah – Anwar

SU Akhbar, Unit Komunikasi jentera utama kerajaan, perlu tangkis fitnah – Anwar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Setiausaha Akhbar dan Unit Komunikasi Korporat, selaku jentera utama komunikasi kerajaan, mempunyai peranan penting dalam merangka strategi komunikasi dan naratif berkesan bagi melawan fitnah serta tipu daya pihak tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini terutama sekali dalam menangkis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menangguk di air keruh terhadap usaha kerajaan merungkai masalah rakyat dan mengangkat kembali martabat negara ini.

“Usaha dan pendekatan yang diambil tidak akan membawa hasil yang segera, tetapi apa yang pasti rakyat mendapat manfaat dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya pada Sabtu.

Sebelum itu, Anwar telah menyempurnakan penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Unit Komunikasi Korporat di Putrajaya, yang menjadi kesinambungan daripada Pemukiman Jemaah Menteri bulan lepas.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau meletakkan jangkaan amat tinggi terhadap prestasi dan gerak kerja Setiausaha Akhbar dan Unit Komunikasi Korporat yang mempunyai peranan penting menyebar luas dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan.

Beliau turut melahirkan keyakinan pemukiman itu dapat memperbaiki dan memperkukuh usaha kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan terus kepada rakyat.

Turut hadir dalam program pemukiman selama 2 hari yang bermula pada Jumaat itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. -airtimes.my

#semasa #airtimes #DSAI #komunikasi

Related Articles

Leave a Reply