Home Semasa Imigresen gempur penempatan haram, 132 PATI ditahan

Imigresen gempur penempatan haram, 132 PATI ditahan

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 18 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di sebuah perkampungan haram di kawasan ladang kelapa sawit di Setia Alam, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, operasi yang bermula pada jam 2.38 pagi itu telah menahan warga Indonesia yang terdiri daripada 76 lelaki, 41 wanita serta 13 kanak-kanak dan bayi berusia 9 bulan, selain 2 lelaki warga Bangladesh.

Beliau berkata, hasil risikan dan aduan yang diterima pihaknya mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak 4 tahun lepas dengan dilengkapi bekalan elektrik.

“Warga asing ini dipercayai menyewa kawasan berkenaan daripada warga tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka. ‘Ketua Kampung’ di sini mendakwa mereka berkongsi membayar kira-kira RM6,000 sebulan untuk sewaan tanah seluas 0.6 hektar itu,

“Di kawasan penempatan haram ini turut menempatkan kedai runcit, warung dan surau. Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran dan buruh binaan di kawasan sekitar,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mengulaslanjut, beliau berkata, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi masa.

“Semasa operasi dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang memanjat atap, menyorok di bawah kolong rumah dan mengunci diri (dalam rumah) supaya tidak ditahan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Menurut Jafri, operasi itu melibatkan 220 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya JIM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara manakala kesemua PATI berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Ditanya tentang tindakan yang akan dikenakan terhadap pemilik tanah berkenaan, beliau berkata semakan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam masa yang sama, Jafri turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi mana-mana PATI.- airtimes.my

#semasa #airtimes #JIM #PATI #ShahAlam

Related Articles

Leave a Reply