Home SemasaJangan pandang remeh keupayaan Houthi – juruterbang tempur Amerika Syarikat

Jangan pandang remeh keupayaan Houthi – juruterbang tempur Amerika Syarikat

by M.Daim
A+A-
Reset

Laut Merah pada ketika ini menjadi isu global berikutan tindakan kumpulan Houthi di Yaman yang melancarkan beberapa siri serangan terhadap laluan perkapalan di perairan itu. Selain merampas kapal, kumpulan itu juga telah melancarkan misil anti kapal dan juga dron.

Pemintasan dron mahupun misil seringkali dilakukan oleh kapal dan juga jet pejuang F/A-18.

Pun begitu, laporan oleh media United Kingdom, BBC baru-baru ini mendedahkan pesawat AV-8B Harrier II turut terlibat dalam operasi itu.

Kumpulan Houthi telah melancarkan beberapa siri serangan terhadap laluan perkapalan di Laut Merah.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Captain Earl Ehrhart yang menyatakan beliau telah menembak jatuh 7 dron yang dilancarkan oleh Houthi.

Beliau merupakan juruterbang tempur Marine Attack Squadron 231 (VMA-231) USS BATAAN. USS BATAAN merupakan kapal serang amfibi yang telah beroperasi di kawasan Laut Merah dan Teluk Parsi semenjak Disember tahun lalu.

“Kumpulan Houthi telah melancarkan begitu banyak dron. Mereka merupakan satu kumpulan yang kukuh dan berkeupayaan,” katanya.

Serangan misil dan dron Houthi dilaporkan telah mengenai beberapa sasaran di kawasan perairan Laut Merah,

Dalam wawancara tersebut, Earl menegaskan keupayaan Houthi tidak boleh dipandang remeh.

Menurut beliau, pesawat Harrier telah ditugaskan bagi melaksanakan misi pertahanan udara.

“Pesawat tersebut telah dilengkapi dengan misil bagi menghadapi serangan dron mereka (Houthi),” katanya.

AV-8B Harrier II merupakan pesawat tempur yang dihasilkan oleh McDonnell Douglas (kini Boeing). Pesawat ini telah dibangunkan dari rekaan Hawker Siddeley Harrier, yang menjadi ikonik semasa Perang Falkland 1982.

Walaupun AV-8B Harrier II sedang menjalani proses penamatan khidmat dalam USMC, pesawat ini masih lagi dioperasikan pada ketika ini.

Pesawat tempur ini mula dioperasikan oleh United States Marine Corps (USMC) semenjak 1983. Pun begitu, peranan AV-8B Harrier II mula diambil alih oleh F-35B secara berperingkat semenjak tahun 2016.

Sehingga kini, VMA-223 dan VMA-231 merupakan hanya skuadron yang masih mengoperasikan AV-8B Harrier II.

Pesawat ini mampu untuk terbang pada kelajuan Mach 0.9 dan mempunyai jarak operasi tempur sejauh 556 kilometer.

Dari segi persenjataan, pesawat ini dilengkapi dengan meriam 25mm. Bagi menggempur sasaran udara, pesawat ni mampu untuk dilengkapi dengan AIM-9 Sidewinder dan AIM-120 AMRAAM. – airtimes.my

#AirTimes #Harrier #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply