KAHERAH, 13 FEB – Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry menyatakan pihaknya masih berpegang teguh dengan komitmen perjanjian damai bersama Israel.
Perkara tersebut disuarakan oleh beliau semasa mengadakan lawatan ke Slovenia.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan pendirian Mesir yang menolak sebarang pengusiran penduduk Palestin dari Gaza.
“Perjanjian perdamaian antara Mesir dan Israel telah berlaku selama empat puluh tahun yang lalu dan kami akan meneruskan (perjanjian) ini,” katanya seperti dipetik oleh Sky News Arabia.
Perjanjian damai Mesir-Israel dimeterai pada 1979 oleh Anwar Sadat dan Menachem Begin. Melalui perjanjian ini, Israel berundur dari Semenanjung Sinai sementara Mesir tidak akan melakukan sebarang aktiviti ketenteraan di kawasan terbabit.
Selain itu, kapal-kapal Israel dibenarkan untuk melalui Terusan Suez dengan selamat. Perjanjian ini menjadi batu loncatan kepada Tel Aviv untuk melakukan normalisasi hubungan diplomatik dengan negara Arab.
Sameh menambah, pihaknya sedang berusaha untuk mencapai perjanjian pembebasan tawan dan kemasukan bantuan ke Gaza.
Beliau turut menegaskan Mesir melihat perkara yang berlaku di Gaza sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar Mesir turut menegaskan penyelesaian konflik Israel-Palestin dapat diselesaikan dengan penyelesaian 2 negara. Penyelesaian ini menekankan pembentukan wilayah Palestin yang merdeka dan mengikut sempadan tahun 1967.
Mesir sebelum ini mengancam akan menggantung perjanjian damai dengan Israel sekiranya Rafah diserang. Perkara tersebut disuarakan oleh Kaherah selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan operasi di Rafah untuk dilakukan dengan kadar yang segera dan tamat pada awal Mac.
Perancangan oleh Netanyahu telah mendapat bantahan dari Washington, Eropah dan negara-negara Arab termasuk Arab Saudi, UAE serta Mesir.
Rafah merupakan bandar yang bersempadan dengan Mesir dan terletak di Selatan Gaza.
Israel telah melancarkan serangan udara dan laut terhadap Rafah pada malam Isnin.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza pada Isnin telah mengesahkan seramai 28,340 penduduk di wilayah itu maut semenjak konflik berlaku pada 7 Oktober 2023. – airtimes.my
#AirTimes #Mesir