KUALA LUMPUR, 31 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan ketaatan, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Anwar merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda berdua selepas melafaz sumpah memegang jawatan dalam upacara penuh istiadat hari ini.
“Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah,
“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, hari ini, bagi tempoh 5 tahun.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Pada istiadat tersebut, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini. -airtimes.my
#DSAI #DaulatTuanku #semasa #airtimes
