Home Semasa ‘Tahniah Anwar, sudah berjaya kurangkan rasuah di Malaysia,’ sindir Tun M

‘Tahniah Anwar, sudah berjaya kurangkan rasuah di Malaysia,’ sindir Tun M

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Tun Dr Mahathir Mohamad secara bersahaja menyindir dengan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah ‘berjaya’ mengurangkan rasuah di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengurangan rasuah yang pertama adalah dengan menggugurkan kesemua 47 kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan ini 47 kes rasuah dikurangkan,

“Rasuah dikurang lagi apabila statutory declaration Datuk Abdul Murad Khalid bahawa Anwar terlibat dengan rasuah sebanyak RM3 bilion tidak diteruskan tindakan (No further action),

“Dengan ini RM3 bilion diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tun Mahathir turut mempersoalkan nama-nama yang disebut dalam Kertas Pandora tidak disiasat termasuk pemilikan harta membabitkan Ahmad Zahid.

Kertas Pandora ialah dokumen yang merujuk kepada berjuta-juta dokumen bocor didedahkan kepada umum pada 2021. Dokumen ini didakwa mendedahkan akaun luar pesisir pemimpin masa kini dan masa lalu dari seluruh dunia, termasuk presiden, perdana menteri, bilionair dan ahli perniagaan terkemuka.

Mereka yang disiasat ketika ini ialah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin. Selain itu, isteri Daim, Na’imah Abdul Khalid juga telah didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.

SPRM juga telah menyerahkan perintah notis kepada anak sulung Tun Mahathir, Mirzan untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh 30 hari.

Dalam kenyataan yang sama, Tun Mahathir turut membangkitkan tuduhan bahawa Anwar memiliki aset lebih RM3 bilion seperti didedahkan oleh bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid, kira-kira 24 tahun lalu.

Sebaliknya, Mahathir berkata, kerajaan hanya menyiasat mereka yang bergelar Tun dan ahli keluarga mereka.

“Mereka, anak mereka, isteri mereka akan didapati bersalah kerana gagal mengisytihar semua harta mereka sejak 42 tahun dahulu dalam jangka masa 30 hari,

“Mereka gagal kerana tidak dapat resit-resit pembelian nasi lemak dan kopi selama 42 tahun,

“Semua rakyat Malaysia mempunyai bukti sah apabila mereka makan nasi lemak. Kenapa Tun Tun tidak simpan semua resit segala perbelanjaan mereka selama hanya 42 tahun. Kenapa setelah diberi masa 30 hari mereka tidak patuh kepada notis dari SPRM,” sindir Tun Mahathir lagi.-airtimes.my

#airtimes #semasa #TunM #DSAI

Related Articles

Leave a Reply