KUALA LUMPUR, 26 Jan – Malaysia membentangkan Laporan Negara pada sesi Penilaian Berkala Sejagat Keempat (Fourth Universal Periodic Review, UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerlan, semalam.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan, penyertaan Malaysia dalam UPR keempat ini selepas penilaian pada 2009, 2013 dan 2018, mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi negara dalam usaha memajukan agenda hak asasi manusia di Malaysia.
Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim yang menjadikan hak asasi manusia keutamaan dalam agenda pembangunan negara.
Menurut Wisma Putra, delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bala Chandran Tharman.
UPR merupakan satu proses antara kerajaan yang diwujudkan bawah rangka kerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi menilai rekod hak asasi manusia bagi setiap negara anggota yang dinilai sekali setiap empat tahun setengah.
“Ia memberi peluang kepada setiap negara yang dinilai untuk berkongsi maklumat tentang usaha dan langkah yang telah diambil bagi meningkatkan tahap hak asasi manusia di negara masing-masing,
“UPR juga merupakan satu mekanisme kajian semula setara yang dilaksanakan atas pendekatan yang konstruktif untuk semua negara anggota PBB mengemukakan saranan dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia,” jelas kementerian itu lagi.
Tambah Wisma Putra, Laporan Negara mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Malaysia adalah hasil usaha yang menyeluruh dan bersama dengan semua pemegang taruh, melibatkan beberapa siri perbincangan, termasuk pihak masyarakat madani serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Laporan Negara merangkumi kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia dalam mempromosikan hak asasi manusia bagi tempoh Nov 2018 hingga Okt 2023. -airtimes.my
#semasa #airtimes #Malaysia #PBB
