KUALA LUMPUR, 25 Jan – Usaha untuk menubuhkan kerajaan menerusi ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ adalah suatu tindakan yang jelas tidak bermoral serta melanggar konsensus nasional.
Perkara tersebut disuarakan oleh 59 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Memorandum Rakyat kepada Perdana Menteri, Ahli-Ahli Parlimen dan Parlimen Malaysia.
Menurut memorandum yang dikeluarkan semalam, sekiranya perancangan ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ ini berlaku, ia akan cetus konflik berterusan yang menyebabkan keadaan politik negara terus terumbang-ambing serta tidak stabil.
“Tanpa sebarang sebab yang kukuh, langkah ‘politicking’ oleh segelintir politikus dengan modus operandi ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ ala Langkah Sheraton adalah suatu tindakan yang jelas tidak bermoral dan melanggar konsensus nasional,” jelas NGO dalam satu memeorandum.
Semalam, wakil dari 59 NGO telah hadir ke Sri Perdana untuk menyerahkan memorandum kepada pihak Perdana Menteri.
Memorandum itu telah diserahkan kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, pada Rabu.
Memorandum itu turut menyatakan, percubaan menjatuhkan Kerajaan yang sah dan mempunyai legitimasi ini ternyata menganggu keselesaan serta ketenteraman rakyat.
“Mutakhir ini, muncul kembali desas-desus pembentukan Kerajaan Persekutuan melalui komplot Ahli Parlimen yang dilakukan secara ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’, sebagaimana yang pernah berlaku pasca peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020 yang lalu,
“Ura-ura komplot dan percubaan menjatuhkan Kerajaan yang sah dan mempunyai legitimasi ini ternyata menganggu keselesaan dan ketenteraman rakyat,
“Lebih-lebih lagi, ura-ura ini hadir pada saat sosioekonomi negara sedang beransur pulij setelah berhempas pulas untuk keluar daripada kemelut akibat dampak cabaran bertimpa yang membelenggu, pasca pandemik COVID-19,” menurut memorandum itu.
Tegasnya, negara semakin bergoncang, seterusnya menjauhkan lagi kepercayaan rakyat dan komuniti global termasuk para pelabur, daripada kerajaan yang tidak dipercayai.
“Kami selaku rakyat menjunjung kasih dan menyokong ketegasan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menolak sebarang usaha ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ sebagaimana yang Baginda janjikan, sehingga tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berakhir,
“Oleh yang demikian, kesemua Ahli Parlimen harus terus berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat dan negara, serta wajib untuk menjauhi sebarang cubaan berniat jahat dengan kaedah ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ yang berhasrat menjatuhkan kerajaan yang sah ini,” jelasnya lagi.
Semalam, salah seorang wakil NGO yang hadir, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Mohd Salleh menjelaskan, memorandum ini secara jelas menggesa agar wakil-wakil rakyat menjalankan tugas mereka dengan baik.
“Wakil-wakil rakyat juga diharap tidak menjalankan pakatan menjatuhkan kerajaan dengan cara selain cara PRU dengan langkah pintu belakang atau tebuk atap,
“Berharap memorandum ini sampai ke wakil-wakil rakyat khasnya kerana mereka memegang tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat. Jangan ada pengkhianatan terhadap mandat yang rakyat berikan,” ujarnya kepada pemberita. -airtimes.my
#semasa #NGO #Malaysia #airtimes #DSAI #langkahsheraton