PUTRAJAYA, 24 Jan – Pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini menegaskan kerajaan perpaduan sekarang seharusnya tidak digangu gugat oleh pengkhianatan ‘tebuk atap’ atau langkah ‘pintu belakang’ dari Ahli-Ahli Parlimen.
Setiausaha ABIM, Aliemran Noor Rashid berkata, sebaliknya rakyat perlu memberikan peluang kepada kerajaan yang sedia ada untuk memimpin negara ke arah kestabilan.
“Sebagai rakyat Malaysia, kami mahu kerajaan yang stabil, iaitu mahu kerajaan yang sedia ada, yang dipilih secara sah oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memimpin negara dalam tempoh 5 tahun dan tidak diganggu gugat serta dikacau dengan agenda-agenda diluar undang-undang,
“Ataupun diluar dari Pilihan Raya Umum (PRU) itu sendiri seperti ‘tebuk atap’ atau pintu belakang dan sebagainya,” jelasnya kepada pemberita.
Terdahulu, Aliemran hadir ke perkarangan Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ kepada Perdana Menteri.
Memorandum ini dikemukan secara bersama 59 NGO dan diterima oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Mengulas lanjut, Aliemran menyatakan, penyerahan memorandum ini adalah sebagai sokongan dan kebersamaan rakyat kepada kerajaan yang sedia ada untuk memerintah negara.
“Kami mengemukakan memorandum ini untuk menyatakan sokongan dan kebersamaan kepada kerajaan yang sedia ada bahawa sebagai rakyat kita mahu kerajaan ini terus stabil hingga beberapa tahun akan datang,
“Sehingga PRU akan datang dalam membangunkan negara dalam aspek ekonomi dan perpaduan kaum serta keseluruhannya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Naib Presiden ABIM, Fazril Mohd Salleh menjelaskan, memorandum ini secara jelas menggesa agar wakil-wakil rakyat menjalankan tugas mereka dengan baik.
“Wakil-wakil rakyat juga diharap tidak menjalankan pakatan menjatuhkan kerajaan dengan cara selain cara PRU dengan langkah pintu belakang atau tebuk atap,
“Berharap memorandum ini sampai ke wakil-wakil rakyat khasnya kerana mereka memegang tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat. Jangan ada pengkhianatan terhadap mandat yang rakyat berikan
“Kalau hendak berlaku pertukaran kerajaan, tunggulah sehingga PRU akan datang,” jelasnya lagi. -airtimes.my
#semasa #ABIM #Malaysia #airtimes #DSAI