KUALA LUMPUR, 24 Jan – Malaysia menuntut Israel bertanggungjawab ke atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dilakukan ke atas Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau menyatakan pendirian Malaysia tersebut di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Palestin yang diadakan di Security Council Chamber, UN headquarters.
“Alhamdulillah saya telah suarakan bahawa Malaysia menuntut Israel untuk bertanggungjawab ke atas pelanggaran Undang-Undang Antarabangsa yang jelas dilakukannya,
“Malaysia juga menyambut baik dan menyokong keputusan Afrika Selatan untuk memulakan prosiding perundangan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” kata Mohamad dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mohamad turut menyatakan, Malaysia dengan tegas menyeru agar Majlis Keselamatan mengambil tindakan segera untuk menghentikan pembunuhan rakyat Palestine dengan segara mengadakan gencatan senjata.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, gesaan Malaysia ini seiring dengan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.
“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak,
“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan. Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,
“Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip yakni Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota,” tegas Anwar. -airtimes.my
#semasa #airtimes #Malaysia #Palestin