PERAK, 24 Jan – Seorang lelaki warga Thailand maut ditembak sekumpulan disyaki warga Indonesia semasa berada di atas sebuah bot di perairan Pantai Remis, semalam.
Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengadu yang merupakan pemilik bot tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
“Pengadu telah dimaklumkan oleh pekerjanya melalui alat walkie-talkie dan mereka mengambil masa untuk perjalanan balik ke pelantar ikan No.11P, Pantai Remis,
“Mangsa telah meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Yusri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati.
“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tembak ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Azalan Ab. Karim di talian 019-392 7837 bagi membantu siasatan polis,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#semasa #airtimes #Perak #Malaysia #jenayah