[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=6Gf6dOoOJ1M[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 25 Jan – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kontraktor pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships, LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pasukan projek terlibat mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah kelewatan yang berlaku.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendedahan mengenai kelewatan pembinaan kapal itu yang dimaklumkan melalui Prosiding Tindakan Susulan projek terbabit adalah mengejutkan dan membimbangkan.
Susulan itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera dalam memastikan isu kelewatan LCS dapat diatasi.
“PAC Parlimen memandang serius isu kelewatan kemajuan pembinaan LCS mililk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memerlukan pemantauan kemajuan yang teliti serta berkala,
“Jawatankuasa ini, bagaimanapun menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Isham Ishak bahawa kementerian itu akan mengambil tindakan segera dalam memastikan isu kelewatan berkenaan dapat diatasi,” katanya melalui kenyataan, semalam.
Kemajuan projek pembinaan kapal LCS itu dibentangkan kepada PAC pada Jumaat dalam prosiding yang dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Ketua Projek LCS Laksamana Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Kapten (B) Azhar Jumaat.
Pada masa yang sama, beliau berkata, tempoh kelewatan pembinaan kapal LCS itu bagaimanapun tidak dapat didedahkan buat masa ini bagi mematuhi Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, PAC dijangka membentangkan laporan mengenai prosiding hari ini dalam Laporan Tindakan Susulan MINDEF terhadap syor PAC berkaitan kapal LCS dalam sidang Dewan Rakyat, bermula 26 Februari ini.
Dalam perkembangan sama, katanya jawatankuasa ini juga dimaklumkan bahawa kapal LCS 1 (KD Maharajalela) hanya akan diserahkan kepada TLDM pada Oktober 2026.
“Dalam prosiding berkenaan PAC turut dimaklumkan bahawa ujian diumumkan kepada media sebelum ini, yang dijangka dilaksanakan antara bulan Mei dan Jun ini, adalah ujian peralatan yang perlu dilakukan kontraktor pembinaan,
“Ia perlu dilakukan sebaik kapal berada di atas air bagi memastikan kapal LCS benar-benar bersedia sebelum diserahkan kepada TLDM,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, MINDEF diarah membentangkan laporan kemajuan Projek Pembangunan Kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek itu disempurnakan.
Itu adalah antara lima syor penambahbaikan PAC terhadap Laporan Kemajuan Projek Pembangunan LCS TLDM di bawah MINDEF bagi tempoh Jun hingga September 2023. -airtimes.my
#pertahanan #LCS #TLDM #malaysia #airtimes