KUALA LUMPUR, 9 DIS – Malaysia amat kesal dan membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya, untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata segera dalam konflik antara Israel dan Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mewakili negara, beliau turut kesal dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anakanak kecil tanpa sekatan di Gaza.
“Satu dunia menemplak dan membantah (tindakan Israel) dan saya masih kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan. Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya, membantah terhadap keputusan AS menolak gencatan senjata Majlis Keselamatan (PBB).
“Tolonglah, kita mesti hentikan pembunuhan mereka yang tidak bersalah, orang awam, bayi dan wanita dan tidak terdapat sebab, tiada sebab langsung untuk manamana pihak menafikan perkara ini dan sebab itulah saya berasa sedih dengan keputusan melampau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan AS pada Jumaat yang memveto resolusi PBB untuk menggesa gencatan senjata segera dalam konflik antara Israel dan Hamas di Gaza, sekali gus mematahkan desakan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera yang diketuai oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan negara-negara Arab.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas meluangkan kira-kira satu jam melawat Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. – Bernama
#semasa #DSAI #Malaysia #palestin #airtimes