[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=t_2ERJsWPYE[/embedyt]
PUTRAJAYA, 9 DIS – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya meningkatkan ilmu pengetahuan dan mempersiapkan diri bagi mendepani pelbagai cabaran serta perubahan di dunia ketika ini.
“Saya menyokong penuh agenda pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran ilmu pengetahuan pegawai-pegawai daripada kementerian dan ATM,
“Kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari semasa di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) ini akan menjadi asas dan panduan kepada kejayaan para graduan pada masa-masa akan datang,
“Diplomasi pertahanan amat penting pada masa ini dan masa hadapan, justeru kita perlu sentiasa memupuk persahabatan dan hubungan dengan rakan seperjuangan seperti dalam dan luar negara atas kepentingan strategik untuk negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di PUSPAHANAS, hari ini.
Selain daripada itu, Mohamad turut menzahirkan harapan agar PUSPAHANAS terus menjadi pusat kecemerlangan (center of excellence) national dalam pengajian dan penyelidikan keselamatan serta dapat muncul sebagai di antara pusat kecemerlangan yang terbaik di rantau ini.
“Pada masa hadapan, saya berharap agar pengambilan pada siri berikutnya dibawah kolej pengajian akan menerima lebih penyertaan penuntut-penuntut daripada sektor awam,” ujarnya lagi.
Terdahulu, majlis graduasi hari ini melibatkan seramai 273 orang pegawai ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan, angkatan tentera luar negara.
Selain itu, terdapat juga peserta dari pegawai tadbir dan diplomatik daripada Kementerian Pertahanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). -airtimes.my
#pertahanan #PUSPAHANAS #airtimes #ATM
