OSLO, 28 NOV – Syarikat pertahanan dan pengeluar Naval Strike Missile (NSM), Kongsberg dilaporkan akan bekerjasama dengan Jerman bagi menghasilkan misil baharu.
Perkara tersebut disahkan oleh Kongsberg dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak syarikat Norway akan mengambil peranan sebagai peneraju dalam pembangunan SuperSonic Strike Missile (3SM) Tyrfing.
“Misil ini akan siap pada tahun 2035,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Norway dalam kenyataannya menjelaskan pembangunan 3SM akan melibatkan kerjasama dengan Jerman.
Misil baharu ini akan digunakan pada kapal tentera laut kedua-dua negara.
“Pembangunan pada hari ini perlu dilakukan bagi tujuan untuk melindungi kita dari ancaman baharu pada masa hadapan,
“Misil baharu ini akan mempertingkatkan keupayaan pertahanan Norway dan keupayaan untuk menggempur sasaran dari jarak yang jauh,” kata Menteri Pertahanan Norway, Bjørn Arild Gram.
Menurut beliau, Jerman merupakan negara rakan yang penting dalam bidang kerjasama pembangunan aset pertahanan serta sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
NSM merupakan misil yang dihasilkan oleh Kongsberg dan mula digunakan oleh tentera Norway pada sekitar 2011 hingga 2015.
Ia turut digunakan oleh beberapa buah angkatan laut di seluruh dunia. – airtimes.my
#Kongsberg #NSM #TeknologiPertahanan