Home GlobalIsrael ancam peperangan di Gaza, Hamas seru protes besar-besaran di peringkat global

Israel ancam peperangan di Gaza, Hamas seru protes besar-besaran di peringkat global

by M.Daim
A+A-
Reset

GAZA, 13 OKT – Tentera Israel dijangka akan melancarkan serangan darat dalam beberapa tempoh terdekat.

Ini berikutan kenyataan ketua tentera Israel dan juga keputusan Tel Aviv membenarkan penubuhan kabinet perang.

“Tiba masanya untuk melancarkan peperangan,” kata Lieutenant General Herzi Halevi.

Halevi mengulangi kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Israel yang mahu peperangan terhadap Gaza dilancarkan dan meranapkan Hamas dengan serta-merta.

Sementara itu agensi media antarabangsa, Reuters melaporkan tentera Israel sedang mengaturgerak bala tenteranya termasuk kereta kebal di lokasi berhampiran dengan Gaza.

Parlimen Israel telah meluluskan penubuhan kabinet perang dibawah kerajaan campuran Benjamin Netanyahu.

“Setiap anggota dan pemimpin Hamas adalah orang yang telah mati,” kata Netanyahu yang berikrar untuk melancarkan serangan terhadap Gaza pada bila-bila masa.

Selain itu, bekas pemimpin tentera dan juga mantan menteri pertahanan Israel, Benny Gantz menjelaskan keamanan bukan pilihan untuk masa ini.

“Ada masanya untuk berdamai tetapi sekarang adalah masa untuk peperangan,” katanya.

Sementara itu, pemimpin Hamas menyeru warga Palestin serta masyarakat Islam seluruh dunia untuk bangkit dan mengadakan protes pada hari Jumaat untuk menentang Israel.

Menurutnya, Jumaat (13 Oktober) perlu dijadikan sebagai Hari Kemarahan dan juga kebangkitan terhadap Tel Aviv.

Lantaran dari seruan Hamas, Tel Aviv sekali lagi memberi amaran kepada warganya di seluruh dunia untuk berhati-hati.

Kementerian Luar Israel dan Majlis Keselamatan Tel Aviv dalam satu kenyataan bersama menjelaskan protes yang mungkin diadakan di seluruh dunia mungkin bertukar menjadi ganas dengan mensasarkan warga Israel serta masyarakat Yahudi.

“Sila jauhkan dari lokasi demonstrasi dan juga protes,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan pihaknya telah menerima makluman daripada Israel untuk mengarahkan 1.1 juta penduduk Palestin di Gaza untuk berpindah ke kawasan selatan dalam tempoh 24 jam.

“Pihak kami menyatakan ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika mengambil kira dari sudut kesan kemanusiaan,

“Kami merayu agar arahan tersebut, jika benar ia dikeluarkan, untuk dibatalkan serta-merta,

“Ini kerana tindakan sedemikian akan menyebabkan situasi menjadi lebih buruk,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.  – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Palestin #Gaza #Israel

Related Articles

Leave a Reply