Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: Turkiye lancar 2 buah kapal peronda luar pesisir baharu

#TeknologiPertahanan: Turkiye lancar 2 buah kapal peronda luar pesisir baharu

by M.Daim

ISTANBUL, 26 SEPT – 2 buah kapal peronda luar pesisir (Offshore Patrol Vessel, OPV) untuk Tentera Laut Turkiye telah dilancarkan.

Kedua-dua buah kapal tersebut merupakan sebahagian daripada 10 buah OPV yang dibeli oleh kerajaan Turkiye.

Kapal TCG AKHISAR dan TCG KOÇHISAR telah dilancarkan secara serentak dalam satu majlis di Istanbul pada Sabtu lalu.

Kapal OPV ini berperanan dalam melaksanakan pelbagai misi maritim termasuk perisikan, pemantauan dan tinjauan (ISR). Selain daripada itu, ia digunakan untuk operasi lain seperti mencari dan menyelamat serta operasi khusus.

Menteri Pertahanan Turkiye, Yaşar Güler menegaskan pelancaran 2 buah kapal ini merupakan kejayaan industri pertahanan negara itu.

“Dengan penambahan kedua-dua buah kapal ini kepada tentera laut, ini menunjukkan tahap keunggulan industri domestik dan kebangsaan Turkiye,

“Tentera Laut Turkiye mampu untuk meningkatkan lagi keupayaan operasi dan keberkesanannya di kawasan perairan,

“Sebagai Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Turkiye, kami akan terus bekerja siang dan malam dalam memastikan keselamatan negara kita, termasuk pembangunan pertahanan domestik dan kebangsaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa menyempurnakan majlis pelancaran.

TCG AKHISAR dan TCG KOÇHISAR merupakan kapal kelas HISAR yang dibangunkan dalam skop projek MILGEM.

Kapal ini dibangunkan dari model kovet kelas ADA, yang merupakan antara calon-calon yang disebut akan memenuhi program Littoral Mission Ship Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia.

Walaupun mempunyai ciri-ciri yang sama, kelas ADA dan kelas HISAR mempunyai perbezaan dari segi konfigurasi persenjataan.

Pada ketika ini, Tentera Laut Turkiye mengoperasikan kapal kovet kelas ADA. Kapal kelas ini dilengkapi dengan meriam utama 76mm dan 2 unit platfrom STAMP bagi mengendalikan mesingan 12.7mm.

TCG Burgazada, kapal ketiga kelas Ada yang dioperasikan oleh Tentera Laut Turkiye.

Selain daripada itu, kapal kovet ini dilengkapi dengan misil anti permukaan, sama ada Harpoon atau Atmaca.

Bagi pertahanan udara pula, kapal kelas ADA dilengkapi dengan satu unit RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM Block I) bagi menggempur sasaran sejauh 10 kilometer.

Bagi tujuan peperangan bawah permukaan pula, kapal ini dilengkapi dengan 2 unit pelancar torpedo berganda dan dibantu oleh sistem penderia torpedo.

Bagi kapal kelas HISAR pula, ia dilengkapi dengan sistem pelancar menegak yang memuatkan 8 unit misil pertahanan udara HISAR-D RF. Ia merupakan varian maritim untuk HISAR-RF yang dilaporkan lebih berupaya dan mempunyai jangkauan serangan yang lebih jauh dari HISAR-O+.

Walaupun jarak serangan HISAR-D RF tidak diketahui, HISAR-O+ mempunyai jarak maksimum sejauh 15 kilometer.

Bagi menggempur sasaran permukaan pula, kapal ini dilengkapi dengan misil Atmaca.

Kapal ini menggunakan sistem roket pertahanan kapal selam (SDW) yang dikeluarkan oleh ASELSAN.

Melihat kepada kenyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Turkiye dilihat mempunyai peluang yang cerah dalam program perolehan LMS Batch II untuk TLDM. Ini terutamanya dengan melihat tawaran kapal kelas ADA dan C92 dari negara itu.

Pun begitu, beliau turut menegaskan perolehan aset ketenteraan adalah bergantung kepada pengguna itu sendiri, Angkatan Tentera Malaysia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply