Home Semasa #Semasa: Operasi SAR masuk hari ketiga, kesan 4 lagi mangsa

#Semasa: Operasi SAR masuk hari ketiga, kesan 4 lagi mangsa

by Bernama

CHUKAI, 4 Jul – Memasuki hari ketiga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di sini diteruskan 9 pagi ini.

Empat lagi mangsa ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Fokus pencarian masih tertumpu di pecahan tiga sektor A, B dan C di sepanjang Sungai Air Putih, Sungai Teladas dan Sungai Pinang sejauh 35 kilometer dengan kekuatan 168 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat.

Pasukan pencarian juga turut menerima penambahan dua ekor lagi anjing pengesan K9 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Semalam, empat mayat ditemukan di sektor A dan B pencarian antara pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari iaitu Karim Abdullah, 39, Putri Aryana Umaira Karim, 4, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10.

Pada hari pertama operasi SAR, dua mayat iaitu Azizah Eiyi, 40, dan Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, dijumpai orang ramai masing-masing pada jarak 24 kilometer (km) dan 2 km dari lokasi kejadian.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan akan dibawa ke kampung mereka di Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang untuk dikebumikan.

Media sebelum ini melaporkan Karim, Azizah dan tujuh anak mereka serta Muhammad Fikri, tunang kepada Putri Balqis Izzati pergi berkelah di jeram berkenaan pada Sabtu sebelum dihanyutkan kepala air. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!