Thailand telah melancarkan kapal angkut amfibi (Landing Platform Dock, LPD) Â yang ketiga, HTMS CHANG pada Rabu lalu.
Kapal yang bersempena nama Pulau Chang ini telah dilancarkan oleh isteri Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Thailand (Royal Thai Navy, RTN) dalam satu majlis di limbungan kapal Hudong-Zhonghua, Shanghai.
HTMS Chang merupakan kapal model Type 071E yang ditempah oleh Thailand pada tahun 2019 dengan kontrak bernilai US$200 juta (RM880 juta tahun 2023). Perolehan yang dilaksanakan oleh Thailand merupakan pasaran eksport pertama kapal LPD untuk China.
Berdasarkan laporan dari Bangkok Post, kapal yang diperolehi oleh RTN ini adalah sepanjang 213 meter dan 28 meter lebar. Draft kapal pula adalah setinggi 17.4 m. Kelajuan maksimum pelayaran kapal ini adalah 25 knot. Kapal jenis ini mampu untuk berlayar sejauh 10,000 batu nautika dengan pelayaran pada kelajuan 18 knot.
Jika dilihat dari segi dimensi, HTMS CHANG merupakan kapal terbesar yang dioperasikan di Asia Tenggara. Malah, kapal ini juga lebih besar berbanding kapal pengangkut pesawat yang dioperasikan oleh RTN, HTMS CHAKRI NARUEBET yang mempunyai panjang 183 meter.
Perolehan ini merupakan satu lonjakan kepada angkatan laut negara gajah putih itu dengan melihat saiz kapal-kapal LPD yang dioperasikan sebelum ini. Kali terakhir RTN memiliki kapal LPD baharu adalah pada tahun 2012, HTMS ANGTHONG dari Singapura . Kapal yang dibina berasaskan kelas ENDURANCE oleh syarikat Singapura, ST Engineering ini mempunyai sesaran 7,600 ton.
HTMS Chang yang mempunyai sesaran 22 ribu ton berupaya untuk membawa 600 ke 800 anggota tentera.
Dengan pelancaran HTMS Chang, terdapat 9 buah kapal Type 071 (Yuzhao) sedang aktif digunakan dengan 8 buah daripadanya oleh Tentera Laut Republik Rakyat China (PLA Navy).
Melihat data sumber terbuka, kapal jenis ini banyak dioperasikan oleh Armada Laut Selatan (South Sea Fleet) PLA Navy dengan 5 buah kapal dan baki 3 buah lagi adalah pada Armada Laut Timur (East Sea Fleet).
Sistem persenjataan kapal ini sudah tentu tidak setara dengan kapal tempur memandangkan ianya sebuah kapal angkut dan bukannya kapal kombatan utama. Lazimnya kapal angkut sebegini diiringi oleh kapal-kapal tempur lain yang mampu untuk memberi pelindungan semasa operasi.
Lazimnya, kapal Type 071 dilengkapi dengan selaras meriam utama dan 4 laras meriam CIWS. Selain daripada itu, sistem persenjataan utama ini disokong dengan beberapa laras mesingan berat. Pada masa yang sama, ia dilengkapi dengan sistem pelancar decoy/chaff bagi mengaburi serangan misil anti kapal dari musuh.
Dari segi spesifikasi operasi, kapal Type 071 ini mempunyai dek penerbangan yang mampu untuk menampung operasi 2 buah helikopter sederhana pada satu-satu masa. Ruangan hangar pula mempunyai kapasiti untuk menampung 4 buah helikopter.
Kapal jenis ini berupaya untuk menampung 4 kapal pendaratan. Selain daripada itu, Type 071 mempunyai dek kenderaan yang mampu untuk menempatkan kenderaan tempur amfibi serta kereta kebal ringan.
Dalam operasi semasa aman, kapal ini telah digunakan oleh PLA Navy untuk melaksanakan pelbagai operasi. JINGGANG SHAN dan KUNLUN SHAN telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 pada tahun 2014.
Selain daripada itu, Kunlun Shan telah digunakan oleh PLA Navy dalam operasi anti kegiatan lanun di Teluk Aden pada 2019.
China turut menghantar sebuah kapal Type 071, WUZHISHAN ke Tonga bagi tujuan bantuan kemanusiaan. Pada ketika itu, kapal ini telah dipertanggungjawabkan untuk menghantar 1,400 tan pelbagai barang bantuan termasuk kenderaan traktor. Pada masa yang sama, kapal ini turut membekalkan 550 tan bekalan air bersih kepada penduduk Tonga. – airtimes.my