Peperangan di Ukraine sudah tentu dilihat sebagai satu peristiwa yang genting pada tahun 2022. Tatkala Kyiv diasak teruk oleh Moskow, pelbagai bantuan telah pun diterima oleh negara timur Eropah. Bantuan berupa persenjataan, kewangan dan juga peluru merupakan antara yang diterima oleh Ukraine bagi memastikan negara itu tidak tumpas di tangan tentera Rusia.
Walaupun pada ketika ini situasi di Ukraine agak berubah dari fasa awal peperangan, kesan dari konflik ini jelas dirasai oleh global terutamanya dari sudut geopolitik dan juga ekonomi. Rusia merupakan negara pengeluar baja terbesar dunia berdepan dengan sekatan perdagangan. Ukraine yang digelar sebagai bakul roti global pula merupakan negara yang memainkan peranan yang penting dalam pasaran bijirin dunia.
Sudah tentu peperangan ini menyebabkan pelbagai krisis sampingan terutamanya dari aspek keselamatan makanan.
Pada masa yang sama, terdapat isu yang lain timbul ketika Ukraine sedang menerima pelbagai jenis aset dan peluru terutamanya dari Amerika Syarikat dan juga dari negara-negara rantau Eropah.
Jerman menghadapi masalah bekalan peluru dan dianggarkan hanya mampu bertahan untuk selama 2 hari peperangan.
Itu adalah perkara yang didedahkan oleh media Jerman pada November tahun lalu.
Walaupun peperangan berlaku lebih 2,000 kilometer dari Jerman, situasi ini sudah tentu menggusarkan Berlin jika tidak pada Perikatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Ini kerana situasi di Ukraine mungkin boleh berubah pada bila-bila masa dan mungkin Jerman tidak mampu tidur lena seandainya Benteng Timur (Eastern Flank) di Kyiv runtuh dilanggar Rusia.
Jerman merupakan antara negara yang memberikan sumbangan kepada usaha perang Ukraine. Selain kelengkapan peluru, Berlin turut mengirimkan sejumlah aset kepada Kyiv termasuk sistem artileri gerak kendiri Panzerhaubitze 2000, sistem pelancar roket berganda dan misil anti armor.
Ini sekaligus menjadikan Jerman sebagai penyumbang utama Ukraine dari rantau Eropah.
‘Tidak cukup peluru untuk berlatih’
Republic World memetik kenyataan Pesuruhjaya Pertahanan Parlimen Jerman, Eva Hoegl yang menegaskan keadaan semasa yang perlu dihadapi oleh Bundeswehr (Angkatan Tentera Jerman).
Menurut beliau, Jerman sepatutnya mengambil inisiatif untuk menambah stok bekalan peluru dengan melihat keadaan semasa yang berlaku di Ukraine.
“Banyak (peluru) telah didermakan tetapi masih belum diganti,” kata Hoegl yang dipetik oleh Politico pada Disember lalu.
Beliau turut menganggarkan sebanyak 20 bilion Euro (RM 94.5 bilion) diperlukan oleh negara itu bagi memastikan bekalan peluru untuk Bundeswehr mencukupi dan mencapai standard NATO. Negara-negara anggota NATO digariskan untuk memiliki bekalan peluru yang mencukupi untuk 30 hari peperangan.
Selain itu, Hoegl turut menyatakan anggota tentera Jerman turut menghadapi masalah kelengkapan dan juga bekalan peluru semasa melaksanakan tugas serta latihan dibawah NATO.
Selain itu, Hoegl menyatakan masalah ini turut berpunca dari kegagalan pihak tertentu untuk memberikan perhatian sewajarnya kepada isu ini pada satu tempoh yang agak lama.
‘Tidak dibangkitkan semasa hujah belanjawan’
Lantaran dari pendedahan Hoegl, Menteri Pertahanan Jerman, Christine Lambrecht mendapat kritikan yang hebat. Malah, Kementerian Kewangan negara itu menolak permintaan saat akhir oleh Lambrecht bagi mengatasi isu kekurangan bekalan peluru.
Laporan Politico mendedahkan Ketua Setiausaha Kewangan, Steffen Saebisch yang mewakili pihak Menteri Kewangan Jerman menempelak tindakan Lambrecht yang gagal menguruskan isu tersebut. Dalam surat balas kepada Menteri Pertahanan Jerman, Saebisch mendedahkan Menteri Pertahanan Jerman tidak menyentuh langsung keperluan belanjawan tambahan bagi membeli bekalan peluru untuk Bundeswehr semasa menyampaikan hujah belanjawan di Parlimen.
“Pihak industri pertahanan turut mendedahkan kekurangan bekalan peluru bukannya berpunca dari isu kewangan,
“Ia sebenarnya berpunca dari sebahagian kecil perancangan yang tidak telus dan tidak konsisten,” kata Saebisch yang turut menyatakan isu perolehan yang timbul akibat karenah birokrasi,
Selain daripada itu, beberapa wakil rakyat Jerman mempersoalkan mengapa perolehan peluru tidak menjadi keutamaan selepas perang Ukraine-Rusia tercetus.
‘Kekurang bekalan komponen’
Disebalik pertelagahan dan kritikan di peringkat pemerintahan, media Jerman, Die Welt memetik sumber industri pertahanan negara itu yang menyatakan isu kekurangan bekalan peluru akan bertambah buruk berikutan kekurangan komponen dari China.
“Pengeluar peluru Jerman telah memberi amaran bahawa import serat kapas (cotton linter) dari China akan menyebabkan krisis ini bertambah buruk,” kata laporan itu.
Cotton linter merupakan komponen yang penting untuk pembuatan caj ledakan peluru senjata api dan meriam.
‘Pengajaran untuk kita’
Sudah tentu isu kekurangan peluru merupakan satu perkara yang kurang senang untuk dibincangkan memandangkan ianya adalah satu isu yang agak kritikal dan boleh memberikan kesan kepada keupayaan pertahanan nasional.
Walaupun Malaysia masih lagi terselamat dari sebarang bentuk ancaman, perkara yang berlaku di Jerman wajar dijadikan sebagai peringatan.
Secanggih mana pun kelengkapan yang kita miliki, ianya tidak akan bermakna sekiranya bekalan peluru tidak mencukupi. Selain daripada itu, bertangguh dalam isu perolehan pertahanan tidak akan memberikan kesan secara terus tetapi ianya akan dirasai dalam tempoh masa yang agak panjang. – airtimes.my