Home PolitikPakatan Harapan Anwar yakin, PH bersama BN bentuk kerajaan perpaduan

Anwar yakin, PH bersama BN bentuk kerajaan perpaduan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau akan dapat membentuk kerajaan perpaduan yang stabil dengan sokongan rakan sekutunya iaitu Barisan Nasional (BN).

Anwar berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan rundingan membincangkan keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan yang bersifat inklusif, selain kemajuan soal ekonomi.

“Pagi tadi kita (PH) telah mengadakan beberapa perbincangan khususnya dengan perwakilan BN yang telah menetapkan 7 orang berunding dengan kita berkenaan isu dasar,

“Saya berpuas hati kerana perbincangan itu lebih tertumpu kepada keperluan untuk mewujudkan satu kerajaan yang stabil, yang inklusif menjaga kepentingan semua rakyat dan wilayah di negara ini,

“Kita juga menetapkan bebarapa keutamaan dalam dasar pemerintahan terutama dalam bidang membangun, memacu dalam bidang ekonomi yang lebih menyakinkan. Kita telah mencapai persetujuan bersama untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Anwar, sehingga kini BN masih belum membuat keputusan sama ada untuk menyertai gabungan bersama PH ataupun Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, ia kerana keadaan itu berlaku apabila ada sebahagian dari Ahli Parlimen BN yang telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Rundingan berjalan lancar, cuma pemimpin BN memohon sedikit waktu sebelum memuktamadkan keputusan selepas membuat mesyuarat dengan parti lain,

“Buat masa ini tiada keputusan, namun saya optimis satu keputusan bakal dibuat bagi memastikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan yang lebih telus dan demokratik demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Dalam sidang media yang sama, Anwar turut mengesahkan beliau merupakan calon tunggal Perdana Menteri dalam rundingan yang diadakan bersama dengan BN.

“BN tidak mencadangkan nama lain dalam perbincangannya bersama gabungan itu. Buat masa sekarang saya masih calon Perdana Menteri,” ujarnya ringkas. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply