Home Semasa Masih belum terlambat untuk pecat kami – Abd Latiff

Masih belum terlambat untuk pecat kami – Abd Latiff

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, masih belum terlambat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memecat anggota Kabinet sementara.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Perdana Menteri sementara itu bahawa dia boleh saja memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN) berhubung isu pembubaran Parlimen.

Abdul Latiff berkata penggunaan ayat seperti ‘pecat menter’ tidak sepatutnya digunakan dalam program politik, walaupun ia dalam gurauan atau sinikal.

“Memang kita tahu perdana menteri mempunyai kuasa ‘hire and fire’, namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal,

“Kami masih teringat 2 orang menteri UMNO yang letak jawatan semasa Tan Seri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan dulu,

“Kami masih lagi anggota Kabinet ‘caretaker’. Masih belum terlambat untuk dipecat. Mungkin Perdana Menteri ke-9 (Ismail Sabri) boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet dalam masa ‘injury time’,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, pada Isnin.

Dalam ucapanya, beliau telah membayangkan hasrat untuk membubarkan Parlimen dalam mesyuarat Kabinet terakhir pada 7 Oktober lalu.

Mengulas mengenai ucapan Ismail Sabri itu, Abd Latiff menafikan terdapat perbincangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen dalam Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata perbincangan hanya berkisarkan perkara dasar seperti persediaan Pilihan Raya, bencana Monsun Timur Laut dan persediaan Belanjawan 2023.

“Namun dalam ucapan selama 36 minit itu dinyatakan terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan. Terutamanya mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut,

“Semua keputusan MJM adalah konsensus, sebulat suara selama 14 bulan dibawah kepimpinan Ismail Sabri. Kita tidak pernah mengundi untuk menentukan apa jua keputusan,

“Cuma (perkara PRU15) PM9 (Ismail Sabri) tidak pernah untuk beliau meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen,

“PM9 ada menyatakan bahawa kita utamakan persediaan bencana, Monsun Timur Laut dan kos barangan (ekonomi) daripada perkara PRU15,” jelasnya.

Tegas Abd Latiff, sekiranya Ismail Sabri menyatakan hasrat untuk membubarkan Parlimen secara terus terang dan ikhlas, beliau percaya anggota Kabinet akan bersetuju dan memberi mandat kepadanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply