Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 bot, 6 kru warga asing ditahan

APMM tahan 2 bot, 6 kru warga asing ditahan

by Air Times News Network

LUMUT, 19 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak berjaya menahan 2 buah bot nelayan tempatan kelas B pada kedudukan 1.5 batu nautika barat daya muara Pantai Remis, semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot pertama yang ditahan telah dikendalikan oleh 3 kru termasuk seorang tekong warga Myanmar berumur antara 33 hingga 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan bagi bot kedua pula mendapati telah dikendalikan oleh 3 kru termasuk tekong warga Myanmar berumur antara 35 hingga 40 tahun,

“Semua yang ditahan telah melakukan kesalahan sama iaitu menggunakan khidmat warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.

Menurutnya, tangkapan berjaya dilakukan oleh bot APMM hasil aduan komuniti nelayan setempat berkenaan aktiviti mencurigakan yang dikesan.

“Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63,

“Kesemua kru serta bot telah ditahan bagi siasatan lanjut dan sebarang aduan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi APMM Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply