Home Semasa Pasangan kekasih antara 7 ditahan proses, edar 57kg dadah

Pasangan kekasih antara 7 ditahan proses, edar 57kg dadah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Polis Kuala Lumpur merampas pelbagai dadah seberat 93 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.8 juta hasil penahanan 7 individu termasuk sepasang kekasih dalam 2 operasi berasingan di sekitar ibu kota, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, pasangan kekasih berusia 29 dan 30 tahun ditahan dalam Operasi Grace yang dijalankan bermula 6.50 petang di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini dan menemukan dadah jenis ‘mushroom’ seberat sekilogram dalam beg dibawa mereka.

Beliau berkata, polis kemudian ke sebuah unit kondominium disewa mereka dan menemukan 57 kg dadah jenis mushroom, ganja seberat 17.7 gram dan 23 botol cecair vape mengandungi dadah.

“Turut ditemui 2.9kg serbuk untuk proses dadah, 27.8 liter cecair kimia memproses dadah dan pelbagai peralatan serta mesin memproses dadah,

“Dadah jenis Mushroom yang dirampas ini dibeli secara online dari negara luar dan diproses oleh suspek di rumah tersebut,

“Hasil saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Pihak Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM300,” jelasnya pada Khamis.

Jelasnya, jumlah dadah yang dirampas bernilai RM1.8 juta dan boleh digunakan oleh seramai 200,000 orang penagih dadah.

Sementara itu, Yahaya berkata pihaknya turut merampas syabu seberat 34kg serta menahan 4 lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 28 hingga 60 tahun di sebuah kondominium di Taman Desa menerusi Op Paloma yang dijalankan kira-kira 6 petang hari sama.

“Sindiket ini menjadikan unit kondominium sebagai makmal tempat pemprosesan serta pembungkusan pelbagai jenis dadah,

“Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan dan sindiket ini telah dikesan bergerak aktif sejak tiga bulan lalu,” ujarnya.

Yahaya memaklumkan, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama 7 hari bermula 12 sehingga 18 Oktober 2022.

Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply