Home Semasa Amirudin tak minta bubar DUN ketika mengadap Sultan Selangor

Amirudin tak minta bubar DUN ketika mengadap Sultan Selangor

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak membuat permintaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, sebaliknya, beliau berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kenyataan di akhbar dan juga media sosial berhubung dengan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk tidak membubarkan Dewan Negeri Selangor bagi mengadakan Pilihan Raya Pada tahun ini, didapati terdapat beberapa kenyataan yang kurang tepat,

“Sebenarnya pada 11 Oktober yang lalu Menteri Besar Selangor tidak membuat permintaan kepada Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Negeri Selangor pada tahun ini dan berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Amirudin dilaporkan berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar pentadbiran kerajaan Selangor dikekalkan.

Amirudin berkata, Tuanku berkenan agar pentadbiran kerajaan negeri diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15 nanti.

Susulan itu, Ismail Sabri mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh yang sama dengan PRU Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply