Home Semasa Jabatan Penjara sahkan Najib sedang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras

Jabatan Penjara sahkan Najib sedang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras

by Air Times News Network

KAJANG, 21 Sept – Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

“Pada 12 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau yang tidak memuaskan,

“Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah Akta tersebut serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules), pihak Jabatan Penjara telah menghantar Najib ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan di sana,” katanya.

Menurut Jabatan Penjara, pada 19 September lalu, pihak HKL telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini.

“Sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, pihak Jabatan Penjara selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan serta ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply