Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Tolak usul tuntutan Kesultanan Sulu: Serlah sikap tidak patriotik kerajaan – Pemuda AMANAH

Tolak usul tuntutan Kesultanan Sulu: Serlah sikap tidak patriotik kerajaan – Pemuda AMANAH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Jul – Kekecohan yang berlaku dalam sidang Dewan Rakyat ekoran penolakan usul bagi membahaskan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah boleh dielakkan sekiranya Speaker dan kerajaan mengambil serius perkara yang melibatkan kedaulatan negara.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Razak Ridzuan menjelaskan, pihaknya menyelar tindakan sambil lewa kerajaan dalam menjawab persoalan penting melibatkan kedaulatan Sabah serta aset Petronas yang dirampas baru-baru ini.

“Reaksi tidak sensitif dan tidak serius dengan apa yang berlaku melibatkan Sabah serta aset negara menyerlahkan sikap tidak patriotik kerajaan,

“Speaker menolak usul dengan menggunakan pelbagai alasan teknikal bagi menutup kelemahan termasuk sikap cuai kerajaan,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama mendesak kerajaan membuat penjelasan tentang hal ini dan segera dibahaskan di Parlimen begi menunjukkan sikap serta ketegasan negara dalam hal-hal melibatkan kedaulatan Malaysia.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung 2 hari berikutan tindakannya mempersoal usul yang ditolak tentang tuntutan Sulu.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Speaker, Datuk Mohd. Rashid Hasnon selepas menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mempengerusikan majlis ketika itu.

Persidangan Dewan rakyat sesi pagi pada Isnin bermula kecoh susulan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul yang dikemukan Isnaraissah Munirah.

Situasi bertambah panas apabila blok ahli Parlimen pembangkang bangkit menyokong tindakan Isnaraissah Munirah yang mempersoal keputusan tersebut.

Keadaan bertukar kecoh selepas Azhar Azizan enggan melayan tindakan Ahli Parlimen Kota Belud itu yang terus mendesak supaya usul itu diluluskan untuk dibahaskan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply