Home Semasa Konflik Ukraine-Rusia: Malaysia tetap dengan dasar berkecuali

Konflik Ukraine-Rusia: Malaysia tetap dengan dasar berkecuali

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 18 Jul – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan Malaysia tetap dengan pendirian dasar berkecuali dalam konflik yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine.

Beliau menyatakan perkara tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

“Berkaitan konflik yang berlaku di Ukraine, kita memahami latar belakang geopolitk yang menyebabkan konflik ini tercetus.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia kekal dengan dasar berkecuali, kita pada waktu yang masa tidak bersetuju dengan pencerobohan oleh mana-mana negara ke atas mana-mana negara yang merdeka,

“Pada waktu yang sama juga, kita tidak mahu ditarik atau didesak untuk mempolitikkan isu ini atau menyebabkan kita terpaksa menyokong mana-mana pihak,

“Kita menjaga hubungan bilateral yang baik dengan kedua-dua Rusia dan Ukraine. Kita berharap dan menyokong usaha-usaha diplomatik untuk segera mendapatkan penyelesaian secara aman (peaceful solution) kepada konflik yang sedang berlaku,” kata Saifuddin.

Malaysia mahu penyelesaian aman dicapai antara Ukraine dan Rusia untuk menamatkan perang yang tercetus semenjak 24 Februari lalu. Foto: Parlimen.

Dalam pada itu, beliau menyatakan konflik di Timur Eropah itu telah memberi kesan kepada bekalan rantaian makanan dan industri pembuatan cip tempatan.

“Sektor ini terkesan kerana Rusia dan Ukraine merupakan pengeluar bagi ‘neon’ dan ‘palladium’ iaitu bahan utama dalam pembuatan semikonduktor,

“Hal ini akan menyebabkan pengurangan eksport komponen tersebut ke pasaran dunia terutamanya benua Eropah,” katanya semasa Sesi Soal Jawab Lisan.

Menurut beliau, konflik yang tercetus semenjak 24 Februari lalu telah menyebabkan gangguan rantaian makanan di peringkat global termasuk Malaysia.

Perang di timur Eropah telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan makanan. Harga gandum meningkat secara mendadak di pasaran global

Jelas Saifuddin, eksport antara Malaysia dengan Rusia dan Ukraine telah merekodkan penurunan akibat peperangan yang berlaku.

“Walau bagaimanapun, penurunan hanya memberikan kesan minimal kepada prestasi keseluruhan sektor eksport Malaysia,

“Sumber import terbesar Malaysia daripada Rusia ialah petroleum dan arang batu. Manakala Malaysia mengimport gandum, bijirin serta minyak bunga matahari daripada Ukraine,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Menteri Luar turut memperincikan jumlah perdagangan Malaysia dengan Rusia dan Ukraine.

“Jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Rusia dan Ukraine secara keseluruhan adalah sebanyak RM10.242 bilion (USD2.473 bilion) iaitu 0.5% daripada keseluruhan jumlah dagangan global negara,” ujar beliau.

Menurut Saifuddin, nilai dagangan Malaysia dengan Rusia adalah RM8.781 bilion manakala dagangan dengan Ukraine adalah RM1.461 bilion. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply