BANDUNG, 15 Jun – Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) telah hari ini menerima sebuah pesawat CN235-200 MPA dan 2 buah helikopter MBe Panther AKS.
Ketiga-tiga pesawat tersebut telah diserahkan oleh syarikat PT Dirgantara Indonesia (PT DI) kepada Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu majlis di Bandung.

PTDI secara rasmi menyerahkan sebuah pesawat CN235 Full Mission dan 2 buah helikopter AS565 MBe Panther. Foto: PTDI
PTDI dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya menyatakan pesawat CN235 yang diterima oleh TNI-AL merupakan pesawat pertama yang telah ditingkat upaya oleh syarikat tersebut.
“Pesawat yang diserahkan mempunyai sistem avionik ditingkat upaya dan sistem misi yang telah diperkembangkan,” kata Presiden Pengarah PTDI, Gita Amperiawan.
Beliau menambah, sebanyak 42.56 peratus kandungan komponen pesawat adalah dari dalam negara Indonesia.

PTDI telah melaksanakan pemasangan dan menguji sistem torpedo serta sonar pada 2 buah helikopter AS565 MBe Panther. Foto: Kementerian Pertahanan Indonesia.
Sementara itu, PTDI turut selesai melaksanakan pemasangan torpedo dan sonar varian baharu pada helikopter AS565 MBe Panther.
Menurutnya, Kedua-dua helikopter ini telah menjalani ujian penerbangan dan pemeriksaan kualiti. Sistem torpedo dan sonar turut diuji bagi memastikan kelancaran operasi pesawat.
Helikopter ini juga merupakan hasil kerjasama antara PTDI dan Airbus.

Prabowo: TNI perlu diperkukuhkan bagi menjamin keselamatan Indonesia. – Foto: PTDI
Penyerahan ketiga-tiga pesawat telah diterima oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto; Ketua Staf Angkatan Laut, Laksamana TNI Yudo Margono dan wakil PTDI.
Semasa penyerahan, Prabowo menyatakan TNI perlu diperkuatkan bagi menjamin keselamatan Indonesia.
“Hari ini kita menyaksikan penyerahan hasil kerja PTDI untuk memperkuatkan TNI. Sekiranya kita mahu selamat, TNI harus kuat, bangsa ini harus kuat, kekayaan kita luar biasa,” kata Prabowo. – airtimes.my
