Home Pertahanan dan Keselamatan Gagal seludup rokok bernilai RM105 ribu, penyeludup lari tinggalkan bot

Gagal seludup rokok bernilai RM105 ribu, penyeludup lari tinggalkan bot

by Nurulhuda

KUANTAN, 15 Jun – Cubaan satu sindiket penyeludupan rokok bernilai RM105,000 berjaya dipatahkan oleh Agensi Pengustkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang selepas menahan sebuah bot fiber di kedudukan 2.6 batu nautika dari barat daya muara Kuantan sekitar jam 1.35 pagi, semalam.

Pengarah APMM Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot samaran yang dinaiki oleh 3 anggota APMM yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan telah mengesan sebuah bot fiber mencurigakan bersama 2 suspek bergerak di persisiran pantai menuju ke sungai Kuantan.

Menurutnya, sebaik dirapati, bot suspek memecut laju ke hulu Sungai Kuantan dan bertindak meninggalkan bot fiber terbabit dengan meloloskan diri di celahan hutan bakau.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 35 peti berisi rokok tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan,

“Kesemua rokok dianggarkan bernilai RM105 ribu termasuk cukai, dibawa ke Ibu Pejabat APMM Negeri Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat dan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial APMM, pada Rabu.

Dalam masa yang sama, Kamal Ariffin menjelaskan, APMM Negeri Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa.

“Pemantauan berterusan bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Pahang sentiasa selamat, aman serta terkawal,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply