Laut China Selatan bukan lagi sekadar hamparan perairan terbuka. Ia kini menjadi medan ekonomi, laluan perdagangan strategik, kawasan sumber, ruang operasi agensi penguatkuasaan serta pentas persaingan kuasa besar.
Bagi Malaysia, cabaran sebenar bukan hanya mempertahankan tuntutan secara diplomatik, tetapi memastikan setiap pergerakan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara dapat dikesan, difahami dan dinilai dengan tepat.
Dalam konteks ini, keupayaan Perisikan, Pengawasan dan Tinjauan (ISR), menjadi asas kepada pertahanan maritim moden. Tanpa pengesanan awal, Malaysia berisiko terlambat menilai sesuatu perkembangan di laut. Tanpa gambaran operasi yang jelas, tindak balas negara boleh menjadi reaktif, terbatas serta mudah dipengaruhi tekanan luar.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris memaklumkan bahawa aset ISR sedia ada tidak mencukupi wajar dilihat sebagai amaran strategik. Beliau menyatakan secara terbuka bahawa TUDM hanya mempunyai tiga pesawat MSA CN235 untuk mengawasi ruang maritim yang luas. Dalam bahasa operasi, jumlah itu terlalu kecil berbanding keluasan kawasan yang perlu dipantau.
Tiga pesawat tersebut tetap penting, tetapi setiap platform berawak mempunyai had. Ia memerlukan kru, jadual penerbangan, penyelenggaraan, bahan api, serta kitaran operasi yang terancang.
Apabila kawasan pengawasan terlalu luas, jurang antara keperluan sebenar dengan kemampuan rondaan akan muncul. Jurang inilah yang boleh mencipta ruang kabur dalam pemantauan maritim negara.
Lebih membimbangkan, aktiviti di Laut China Selatan tidak menunggu kesiapsiagaan Malaysia. Kapal kerajaan asing, bot nelayan, kapal penyelidikan, kapal dagang, serta aset tentera luar boleh bergerak pada bila bila masa. Negara perlu melihat lebih awal sebelum sesuatu kehadiran menjadi insiden.

Laut China Selatan amat kritikal kepada Malaysia sebagai nadi perdagangan global, sumber tenaga (minyak dan gas), dan keselamatan makanan, selain melibatkan kedaulatan wilayah di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)./Foto: TLDM
Mengapa ISR menjadi keutamaan
ISR bukan sekadar melihat objek di laut tetapi ianya adalah proses untuk mengumpul, menilai, mengesahkan, serta menyampaikan maklumat kepada pihak yang perlu membuat keputusan. Dalam krisis maritim, maklumat yang lewat boleh menyebabkan tindakan juga lewat. Maklumat yang tidak lengkap pula boleh menyebabkan keputusan dibuat dalam keadaan kabur.
Malaysia mengamalkan pendekatan pertahanan yang berhati hati, namun pendekatan tenang mesti disokong bukti yang kukuh. Imej, koordinat, pola pergerakan, rekod komunikasi, serta jejak aktiviti penting untuk menyokong bantahan diplomatik, operasi penguatkuasaan, atau keputusan ketenteraan.
Keupayaan melihat secara berterusan juga mengurangkan risiko salah tafsir. Apabila negara tahu siapa berada di kawasan tertentu, apa yang dilakukan, serta bagaimana pergerakan itu berubah, tindak balas boleh dirancang dengan lebih matang. Dalam persaingan kuasa besar, kematangan keputusan bergantung kepada kekuatan maklumat.
Anka sebagai pengganda kuasa
Kemasukan sistem pesawat tanpa pemandu Anka memberi nafas baharu kepada keupayaan ISR TUDM, Panglima menjelaskan bahawa Anka boleh melaksanakan fungsi MSA serta ISR ketika membuat tinjauan di kawasan perairan. Ini menjadikan Anka bukan sekadar tambahan aset, tetapi pengganda kuasa kepada rangkaian pemantauan negara.
Kelebihan utama dron seperti Anka ialah ketahanan operasi. Ia boleh membantu memanjangkan tempoh pemerhatian, mengurangkan tekanan terhadap aset berawak, serta memberi pilihan lebih fleksibel kepada perancang operasi. Dalam kawasan maritim yang luas, tempoh berada di udara ialah kelebihan besar.
Anka juga penting kerana ia boleh beroperasi dalam peranan yang sesuai dengan keadaan semasa. Jika sesuatu kawasan memerlukan pemantauan berpanjangan, penggunaan platform tanpa pemandu memberi nilai strategik. Ia membolehkan TUDM mengekalkan kehadiran pengawasan tanpa terus membebankan pesawat berawak yang jumlahnya terhad.
Namun Anka tidak boleh dilihat sebagai jawapan tunggal. Ia perlu disatukan dengan Maritime Surveillance Aircraft (MSA), Maritime Patrol Aircraft (MPA), radar, pusat arahan, perisikan elektronik, serta perkongsian maklumat antara agensi. Nilai sebenar ISR muncul apabila semua sumber maklumat disepadukan menjadi gambaran operasi yang boleh dipercayai.
Fasa 2 UAS dan sasaran sembilan Anka

Sistem UAS Anka mampu menjimatkan perbelanjaan kos operasi rondaan di udara./Foto: TUDM
Perancangan perolehan Unmanned Aircraft System (UAS) Fasa 2 menunjukkan TUDM memahami keperluan membina kapasiti ISR secara bertahap. Panglima menyatakan kementerian secara prinsip telah bersetuju dengan fasa seterusnya, melibatkan tiga lagi Anka bersama keupayaan Peperangan Elektronik dan ISR. Jika tiga unit sedia ada ditambah tiga lagi, TUDM akan mempunyai enam Anka.
Sasaran jangka panjang pula ialah sembilan unit, sasaran ini munasabah kerana pengawasan maritim memerlukan kesinambungan. Satu aset mungkin berada dalam operasi, satu lagi menjalani penyelenggaraan, manakala satu lagi bersedia untuk tugasan berikutnya. Dalam dunia sebenar, jumlah aset atas kertas tidak sama dengan jumlah aset yang sentiasa boleh diterbangkan.
Perolehan secara berfasa memang mengambil kira kekangan kewangan negara. Namun proses itu tidak boleh terlalu perlahan. Laut China Selatan berubah lebih pantas daripada kitaran birokrasi perolehan. Kelewatan membina kapasiti ISR boleh menyebabkan Malaysia sentiasa mengejar keadaan, bukan mendahului keadaan.
MPA sebagai lapisan keupayaan baharu
Selain Anka, kemasukan pesawat peronda maritim P72M akan memperkukuh lapisan pengawasan TUDM.Hal ini kerana MPA mempunyai peranan berbeza daripada MSA, MPA lebih berkemampuan, mempunyai jarak jangkauan lebih jauh, serta dilengkapi peralatan lebih baik. Ini bermakna pemantauan maritim akan menjadi lebih berkesan apabila aset tersebut memasuki perkhidmatan.
Gabungan MSA, MPA dan UAS akan memberi TUDM struktur pengawasan yang lebih seimbang. MSA boleh terus memainkan peranan penting. MPA memberi jarak, sensor serta daya tahan lebih baik. Anka pula mengisi keperluan pengawasan berpanjangan. Jika digabungkan dengan radar pertahanan udara serta sistem perintah kawalan yang cekap, Malaysia akan memiliki ekosistem ISR yang lebih meyakinkan.
Melihat lebih awal, bertindak lebih tepat
Dalam era persaingan kuasa besar, kedaulatan tidak hanya dipertahankan ketika kapal asing sudah berada di depan mata. Ia dipertahankan lebih awal melalui maklumat tepat, pengesanan berterusan, serta keupayaan memahami niat pihak lain.
TUDM memerlukan lebih banyak aset ISR kerana ruang maritim Malaysia semakin kompleks. Tiga MSA CN235 tidak cukup untuk beban pengawasan yang luas. Anka memberi pengganda kuasa. UAS Fasa 2 perlu dipercepat secara terancang. Sasaran sembilan Anka pula wajar dilihat sebagai keperluan strategik, bukan kemewahan.
Laut China Selatan akan terus panas. Dalam keadaan itu, negara yang mampu melihat lebih awal akan mempunyai kelebihan untuk bertindak lebih tepat. Bagi Malaysia, pelaburan ISR ialah pelaburan terhadap kedaulatan. -airtimes.my





