Home Semasa Anwar gesa SPRM bongkar kes rompak dana era pandemik

Anwar gesa SPRM bongkar kes rompak dana era pandemik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera membongkar penyelewengan yang dilakukan ketika negara berdepan dengan wabak pandemik COVID-19.

Anwar yang juga presiden PKR berkata, beliau menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung usaha untuk membawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah,

“SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Azam baki dilaporkan berkata usaha untuk membawa pulangan setiap sen dana syarikat tersebut yang diseleweng masih belum selesai.

Jelasnya, sebanyak RM5.11 bilion lagi telah diperoleh melalui cara penyelesaian dan SPRM akan terus mendapatkan lebih banyak aset yang dicuri daripada pelaku.

“Jumlah itu tidak termasuk RM14 bilion pada 2020 yang diperoleh daripada pelbagai pihak melalui kompaun dan penyelesaian termasuk penghantaran pulang hasil jenayah,

“Kerja (untuk menuntut aset) belum selesai. Rakyat Malaysia mesti menuntut kerana terdapat akauntabiliti dalam setiap sen wang yang dilaburkan dalam 1MDB,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sikap tegas terhadap rasuah dan salahguna kuasa tidak seharusnya ada kompromi dalam membina masyarakat berintegriti.

“Sikap tegas kita terhadap rasuah dan salahguna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi dan tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti,” katanya lagi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply