Home Pertahanan dan Keselamatan Guna beg pakaian seludup dadah RM1 juta tumpas

Guna beg pakaian seludup dadah RM1 juta tumpas

by Air Times News Network

KUALA LINGGI, 25 Mei – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan sindiket menyeludup keluar 26 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, rampasan dibuat berdasarkan maklumat risikan dan pengesanan mengenai aktiviti mencurigakan di perairan Tanjung Sepat, Selangor sekitar jam 10.00 malam pada Isnin lalu.

“Aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan operasi khas telah diaturgerak ke lokasi bagi mengesan dan memantau tersebut,

“Pasukan operasi telah menemui sebuah beg pakaian berwarna kelabu diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi tebing pantai Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kawasan tersebut, pihaknya tidak menemui suspek atau pergerakan bot.

Jelasnya, hasil pemeriksaan keatas beg pakaian tersebut telah menemui 26 paket berwarna kuning berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu.

Menurutnya, dadah tersebut dipercayai sengaja ditinggalkan dan akan diambil oleh pihak seterusnya untuk diseludup keluar dari Malaysia.

“Kesemua barang kes telah diserahkan kepada pegawai penyiasat dan akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan lebih 26kg dadah jenis syabu dianggarkan sekitar RM1,040,000 dan dipercayai dadah ini boleh dibekalkan kepada lebih kurang 56,000 orang penagih. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply