Home Semasa Kes Bella: TMJ titah tutup segera pusat jagaan kanak-kanak haram

Kes Bella: TMJ titah tutup segera pusat jagaan kanak-kanak haram

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 20 Apr – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengemukakan 3 cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan mangsa sindrom down dikenali sebagai Bella tidak lagi berulang.

Baginda bertitah mencadangkan agar undang-undang semasa bagi Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda dengan kadar segera.

Menurut baginda, akta tersebut perlu merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan,

“Ini adalah bagi memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titahnya menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook rasminya pada Selasa.

Tunku Ismail turut bertitah agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail turut mencadangkan agar kerajaan segera membuat kajian mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak yang mana boleh bermula di pusat-pusat jagaan kanak-kanak di Negeri Johor.

“Kajian ini harus bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF atau institusi-institusi bebas lain dan kajian tersebut didedahkan kepada umum,

“Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Cadangan berkenaan adalah buah fikiran baginda selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Wakil Pertubuhan Antarabangsa UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex di Royal Johor Club, semalam.

Menerusi pertemuan itu, Tunku Ismail juga turut mencadangkan 2 lagi saranan yang sesuai bagi meningkatkan lagi tahap kawalan bagi melindungi kanak-kanak yang berada di rumah lindungan.

Terdahulu, kes penderaan melibatkan remaja kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bella itu mulai mendapat perhatian awam sejak awal bulan lalu, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply