Home PolitikPakatan Harapan PRN Johor: Apa motif MUDA letak calon di DUN Larkin? – Akmal Masrullah

PRN Johor: Apa motif MUDA letak calon di DUN Larkin? – Akmal Masrullah

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan motif sebenar Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) yang meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sehingga mencetuskan pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan MUDA itu menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan kepada pengundi DUN tersebut apabila parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sebelum ini dikatakan akan bersama Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, pertembungan itu, seolah-olah memberi kelebihan kepada UMNO, sedangkan PH mahu merampas semula kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Keputusan MUDA untuk mencetuskan pertembungan sesama pembangkang di DUN Larkin tidak akan menganggu fokus Keadilan. Tindakan MUDA ini hanya, jika tidak berhati-hati ketika ini akan mengesahkan tanggapan ramai pihak yang menyifatkan daya politik MUDA yang masih dangkal dan tidak matang dalam menilai pihak kawan dan lawan,

“Walaupun kita kena akui MUDA ada hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi yang mereka inginkan, tetapi AMK tertanya-tanya apa motif sebenar MUDA mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan Keadilan telah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman,

“Adakah latar belakang Dr Zamil (Najwah Arbain) yang kita tonjolkan ini tidak mampu atau memenuhi citarasa yang mereka?,” katanya dalam sidang media mengenai pertembungan parti-parti politik, pada Jumaat.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Dr Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.

Sementara itu, MUDA pada Khamis mengumumkan Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah yang juga Pengarah Kempen DUN Larkin itu berkata, tindakan MUDA bertentangan dengan pendirian Syed Saddiq selaku Presiden parti yang memaklumkan tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR.

Bahkan, beliau menjelaskan, keputusan MUDA meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PH adalah sama seperti mana dilakukan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Warisan.

“Walaupun berhadapan risiko pecah undi, akibat tindakan MUDA, PKR tetap yakin akan mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi PH dalam PRU yang lalu.

“Pemilihan Dr Jamil juga bertepatan dengan nilai, prinsip dan integriti yang dipegang oleh Keadilan dalam pemiilihan calon pilihan raya dan seterusnya menawarkan pemimpin berkredibiliti untuk diangkat sebagai wakil rakyat,” tegasnya.

DUN Larkin dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya 5 penjuru.

Selain calon PKR dan MUDA, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (PEJUANG). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply