KUALA LUMPUR, 20 Feb – Presiden parti MUDA, Syed Saddiq hari ini menegaskan partinya ditubuhkan untuk membina negara Malaysia yang maju, bermaruah dan berintegriti.
“Pemimpinnya walaupun muda, tapi berpengalaman yang sangat baik dalam berkhidmat, ingin membawa politik yang baru dan bermaruah,” kata dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut Syed Saddiq, MUDA berpegang teguh kepada prinsip politik matang seperti mana yang dilakukan oleh beliau semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan pada satu ketika dahulu.
“Semasa saya berkhidmat dahulu dalam kabinet, saya memperjuangkan hak negeri pembangkang seperti Kelantan dan Terengganu untuk mendapat peruntukan khas walaupun dibawah pentadbiran pembangkang,
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, buat pertama kali dalam sejarah Malaysia kita kembalikan semula hak penganjuran SUKMA kepada Kelantan dengan peruntukan lebih RM200 juta walaupun dibawah pentadbiran pembangkang,
“Itulah politik matang,” katanya.
Jelasnya, prinsip tersebut masih kukuh dalam parti MUDA.
“Dalam muda, kita gunakan prinsip yang sama – hormat kawan, hormat lawan. Kita berikan keutamaan kepada Malaysia yang tercinta,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan parti beliau bukanlah boneka seperti dikatakan oleh Presiden PAS.
“Sebagai anak muda, saya hormati pandangan tok guru sebagai individu berpengalaman dalam politik,
“Jangan hanya kerana kami muda, kami dilabel sebagai boneka,
“MUDA sentiasa bersungguh untuk belajar dan lebih bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa serta agama,” ujar beliau.
Presiden parti PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini mendakwa parti MUDA merupakan anak DAP.
“Amanah itu DAP yang buat, saya tahu dia ambil orang PAS dan buat Amanah. Sekarang ada parti MUDA, itu pun anak DAP juga,
“MUDA pun untuk menarik umpan dan pancing anak-anak muda Melayu. Ingat jangan makan umpan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi pada 18 Februari. – airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.