Home SemasaGlobal Pemberontak pro-Rusia bedil Menteri, Ahli Parlimen Ukraine

Pemberontak pro-Rusia bedil Menteri, Ahli Parlimen Ukraine

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia dilaporkan saling berbalas bedilan artileri semenjak beberapa hari lalu. Perkembangan terbaharu ini telah menimbulkan kebimbangan bahawa akan tercetusnya konflik yang lebih besar di antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu.

Delegasi Ahli Parlimen dan Menteri Dalam Negeri Ukraine telah diancam dengan serangan artileri dan mortar semasa melakukan lawatan di kawasan berhampiran konflik.

Dalm kejadian berasingan, kumpulan lawatan yang terdiri daripada pemimpin politik dan menteri tiba di kawasan barisan hadapan negara itu bagi melihat sendiri situasi semasa yang membelenggu negara Eropah Timur itu.

Menteri Dalam Negeri Ukraine, Denys Monastyrsky bersama delegasi pelawat telah dibedil dengan mortar semasa melakukan lawatan di sebuah perkampungan berhampiran kawasan dikuasai oleh kumpulan pemberontak.

Saat serangan telah dirakam oleh petugas media antarabangsa yang turut hadir bersama melakukan delegasi lawatan tersebut.

Denys dilaporkan terselamat ketika mortar meletup dalam jarak beberapa ratus meter dari kedudukan beliau.

Sementara itu, sekumpulan Ahli Parlimen Ukraine turut menerima nasib yang sama dengan Denys semasa melawat Svitlodarsk. Mereka telah berlindung dalam kubu semasa kejadian berlaku.

Pelanggaran gencatan senjata

Pihak Ukraine hari ini menyatakan berlakunya 136 pelanggaran gencatan senjata dalam tempoh 24 jam pada 19 Februari.

Menerusi kenyataan oleh pihak Angkatan Bersama Ukraine (Joint Force Operation (JOF) Ukraine, seramai 2 anggota tentera negara itu maut dalam beberapa insiden berbalas bedilan artileri antara Kyiv dengan kumpulan pemberontak pro Rusia.

Seramai 5 orang lagi dilaporkan cedera.

Angka insiden bertambah berbanding yang dilaporkan semalam iaitu 66 insiden pelanggaran gencatan senjata.

Putin lancar konflik besar selepas Perang Dunia Kedua

 Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin telah merancang untuk melancarkan konflik terbesar di Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

“Putin telah mulakan rancangan beliau dengan melihat beberapa perkara yang berlaku,” kata Boris seperti dilaporkan oleh BBC.

Tegasnya, perkara tersebut adalah berdasarkan laporan perisikan yang diterima oleh beliau.

“Mereka merancang untuk mengepung Kyiv dengan melancarkan serangan dari Belarus dan Donbass (Timur Ukraine),

“Apa yang kita dapat lihat adalah satu konflik terbesar berlaku di Eropah jika dilihat dari skala,” katanya. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.

Related Articles

Leave a Reply