KOTA TINGGI, 19 Feb – Parti DAP kini mencipta parti baharu melalui penubuhan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan untuk mengumpan undi golongan belia Melayu.
Presiden parti PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebelum ini DAP juga yang menjadi pencetus kepada penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) yang meletakkan sasaran menarik sokongan penyokong PAS.
“Amanah itu DAP yang buat, saya tahu dia ambil orang PAS dan buat Amanah. Sekarang ada parti MUDA, itu pun anak DAP juga,
“MUDA pun untuk menarik umpan dan pancing anak-anak muda Melayu. Ingat jangan makan umpan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi, malam tadi.
Abdul Hadi yang juga Ahli parlimen Marang itu menjelaskan, MUDA yang julung kali bertanding pada pilihanraya berdepan jalan buntu apabila isu agihan kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal berikutan MUDA dikatakan bertegas menuntut kerusi lain, selain yang ditawarkan.
PKR menawarkan 3 kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini tetapi MUDA mahukan kerusi selamat di kawasan bandar.
Manakala rundingan dengan DAP dan Amanah sudah diselesaikan apabila mereka mudah menyerahkan 6 kerusi kepada MUDA iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai
Mengulas lanjut, Hadi berkata sebelum ini PAS pernah bersama DAP di dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi membuat keputusan mengambil haluan masing-masing disebabkan pendekatan parti itu yang terlalu ekstrem.
“PAS baru saja berpisah dengan DAP, satu parti yang ekstrem bukan macam Gerakan. Mereka (DAP) terang-terang anti islam, anti Melayu dan Raja-Raja. PAS tak boleh ikut,
“Kami tidak sanggup bersama mereka. PKR (Parti Keadilan Rakyat) itu parti penipu. Kita tahu PH ini menipu,
“Buat manifesto nak hapuskan minyak 24 jam, hapuskan (pinjaman) PTPN (Perbadanan Tabung Pendidikan Negara). Teruk janjinya, macam anak raja nak kahwin dengan Puteri Gunung Ledang,” ujarnya.
Disebabkan keadaan itu, katanya PAS bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mencari pendekatan baharu dan akhirnya bersetuju menubuhan Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, Hadi menegaskan UMNO juga perlu ditolak rakyat kerana menjadi punca berlakunya wabak politik wang yang jelas merosakkan negara.
“Ketika PRU-14, Tuhan bagi petunjuk. BN yang memerintah negara 60 tahun lebih di Malaysia, tumbang akibat wabak politik wang. Ramai rakyat menolak kepimpinan mereka, ramai yang keluar termasuk bekas Perdana Menteri (Muhyiddin), dan menubuhkan PPBM,
“Rakyat tolak BN kerana salah laku yang malu saya nak sebut,” katanya yang secara sinis mengatakan UMNO sepatutnya ‘bersara’ apabila melebihi usia 60 tahun,
Tegasnya, UMNO yang diberi amanah untuk memerintah Johor telah menyusahkan rakyat negeri itu apabila membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan PRN.
“Kita minta Johor jadi guru kepada negeri lain dalam hal politik. Orang Sabah sudah ajar PN menang di PRN Sabah, tak kan orang Johor tak boleh buat, malulah orang Johor. Jangan salah mengundi, sudah 60 tahun kita buat silap,” tegasnya.
Majlis itu dihadiri pemimpin utama PN termasuk Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yaakob serta pemimpin utama parti komponen PN.-airtimes.my