Home Pertahanan dan Keselamatan 2 tekong, pemandu van seludup 19 PATI ditahan

2 tekong, pemandu van seludup 19 PATI ditahan

by Nurulhuda

PASIR MAS, 19 Feb – Dua tekong darat bersama 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berjaya ditahan anggota polis di Kampung Lubok Kawah, kelmarin.

Tangkapan yang dilakukan pada jam 5 pagi itu membabitkan penahanan tekong berusia 37 dan 42 tahun, manakala PATI terdiri daripada 9 wanita serta 10 lelaki berumur antara 20 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata penahanan itu dilakukan oleh anggota bertugas yang membuat rondaan sebelum menahan sebuah van persiaran Era Komuter dan kereta Audi A4 dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 5 pagi.

Beliau berkata, anggota kemudian mendekati mereka tetapi pemandu van dan kereta terbabit memecut kenderaan untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, beliau berkata, van berkenaan berjaya ditahan di tepi jalan, manakala pemandu Audi A4 dapat melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas van itu mendapati ada seorang pemandu berasal dari Padang Serai, Kedah, disyaki tekong cuba menyeludup PATI terbabit ke lokasi yang belum dapat dipastikan,

“Kesemua warga Myanmar berada di dalam van itu pula didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan disyaki masuk ke Malaysia melalui cara menyalahi undang-undang negara,

“Van itu kemudian dirampas, manakala lelaki disyaki tekong dan semua PATI terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil soal siasat terhadap tahanan, polis kemudian memberkas seorang lelaki warga Thailand berusia 42 tahun di Kampung Lubok Kawah yang disyaki dalang penyeludupan PATI berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002).

Dalam pada itu, Mohd Nasaruddin menjelaskan, pihaknya meneruskan usaha memburu pemandu Audi A4 yang memboloskan diri selepas kenderaan terbabit dikesan di Kampung Nibong, Tok Uban, di sini, kira-kira jam 4.30 petang hari sama.

“Pemandu dipercayai lelaki tempatan berusia 20 tahun itu bagaimanapun merempuh kenderaan pihak berkuasa, menyebabkan 2 das tembakan dilepaskan supaya suspek memberhentikan kenderaan,

“Kereta itu terus dikejar anggota sebelum ditemui berada di hadapan sebuah rumah di Kampung Gelam, Tok Uban, namun suspek telah melarikan diri dan meninggalkan beg yang mengandungi kad pengenalan diri,” ujarnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply