Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM, Tentera Laut Jerman kongsi kepakaran operasi dalam Passage Exercise

TLDM, Tentera Laut Jerman kongsi kepakaran operasi dalam Passage Exercise

by Nurulhuda

LUMUT, 13 Jan – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Jerman (TLJ) telah melaksanakan Passage Exercise (PASSEX) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik pertahanan maritim di sekitar perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, dalam kenyataan berkata, objektif utama PASSEX adalah untuk memperkasakan kebolehoperasian melalui kaedah perkongsian idea serta kepakaran di lapangan.

Menurutnya, eksesais tersebut telah melibatkan 7 buah aset oleh TLDM iaitu KD SRI INDERASAKTI, KD JEBAT, KD LEKIR, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD GEMPITA, KD SUNDANG serta helikopter Super Lynx manakala TLJ memperagakan 2 buah aset iaitu FGS BAYERN serta helikopter Sea Lynx.

Turut serta menjayakan eksesais ini adalah Fast Combat Boat TLDM.

“Objektif latihan diterjemahkan melalui beberapa siri latihan di laut meliputi manuvra taktikal, pendaratan helikopter dan sail past,

“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut,” jelas kenyataan itu.

TLDM menjelaskan, aset TLJ sebelum ini sedang melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan Indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Seterusnya TLJ dirancang melanjutkan pelayaran ke Sri Lanka dan India sebelum meneruskan pelayaran pulang ke negara asal pada Februari 2022 setelah selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir 6 bulan.

Dalam masa yang sama, TLDM menjelaskan, pihaknya akan terus komited terhadap keselamatan maritim dan kerjasama pertahanan negara rantau ini.

“TLDM juga akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat dalam memacu ketersediaan warga bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa,” tambahnya. -airtimes.my

Geleri gambar:

Related Articles

Leave a Reply