KUCHING, 5 Dis – PAS mengumumkan bertanding satu kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Mero dengan mencalonkan Setiausaha PAS Negeri Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan meletakkan hanya seorang calon dalam PRN Sarawak dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.
“PAS juga mahu memelihara hubungan di peringkat Pusat dengan kerajaan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon PAS PRN 12 Sarawak, di Kuching, semalam.
Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Khairil Nizam Khirudin dan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee.
Sebelum ini, PRN Sarawak ke 11 pada 2016 , PAS bertanding sebanyak 11 kerusi di Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut. – airtimes.my