Home Semasa Md Alwi dilantik Pengerusi MDEC berkuatkuasa 1 Disember

Md Alwi dilantik Pengerusi MDEC berkuatkuasa 1 Disember

by Air Times News Network

CYBERJAYA, 1 Dis – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, mengumumkan pelantikan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad sebagai Pengerusi baharu, berkuat kuasa 1 Disember 2021 bagi tempoh 2 tahun.

MDEC dalam satu kenyataan berkata, Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Kelantan, sebelum ini, telah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan dari 1990 hingga 1992 serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia dari 1993 hingga 1999, sebelum menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri dari 2007 hingga 2009.

Menurut MDEC, sebelum berkhidmat sebagai ADUN, Md Alwi pernah menjadi Ahli Parlimen Ketereh dari 2004 hingga 2008.

“Sebagai antara tokoh penting dalam membasmi kemiskinan, beliau telah memainkan peranan sebagai Pengerusi Yayasan Kemiskinan Kelantan sejak 1993,

“Md Alwi juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Silver Ridge Berhad dari 2004 hingga 2008, Syarikat Permodalan Risda Berhad dari 2006 hingga 2016 dan Lembaga Kemajuan Pertanian KEMUBU (KADA) dari 2014 hingga 2018,” katanya.

Beliau ketika ini adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak 2020.

“Berpengalaman sebagai juruukur tanah berlesen professional dan juga merupakan Prinsipal Firma Perundingan AA Geomatics and Survey dan Felo Institut Juruukur Malaysia,” ujarnya.

Md Alwi memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Tinjauan & Pemetaan) dari Western Australian Institute of Technology Perth (kini Curtin University) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia (UUM); selain latihan profesional dalam Hydrography and Seabed Mappings, Motorised Levellings, dan Lidar Surveys and Mapping, masing-masing di Kanada, Sweden, Amerika Syarikat dan China. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply