Home Semasa Sindiket penipuan love scam tumpas

Sindiket penipuan love scam tumpas

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama polis Hong Kong telah melaksanakan Operasi Tiong (Op Tiong) bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan ‘love scam’ yang dikesan di sekitar Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Komisioner Polis Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, penahanan dibuat hasil serbuan yang dijalankan pada 5 Oktober lalu di 3 buah premis sekitar Puchong.

Menurutnya, serbuan tersebut telah berjaya menahan 7 individu yang terdiri daripada 5 lelaki dan 2 perempuan warganegara asing berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.

“Kesemua mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan ‘love scam’ menyasarkan mangsa di kalangan rakyat Malaysia dan Hong Kong,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Mohd Kamarudin menjelaskan, polis turut merampas beberapa buah komputer riba, telefon bimbit, router, passport dan sejumlah kad ATM dari pelbagai bank.

“Siasatan yang dijalankan mendapati sindiket ini telah memasuki Malaysia 3 tahun yang lalu dengan menggunakan pas pelajar,

“Melalui pelbagai nama samaran dan akaun palsu di platform Facebook serta Instagram, ahli sindiket ini akan menghantar permohonan untuk menjadi rakan kepada pengguna media sosial di negara sasaran,

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis serta janji palsu yang ditaburkan kemudiannya akan diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan,” tambahnya.

Jelasnya, kesemua mereka yang ditahan direman sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply