KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Eksesais Wira Carilamat 2/21 di perairan Pulau Perhentian Besar, Terengganu pada 23 dan 24 Ogos lalu.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, eksesais ini telah dikoordinasikan oleh Markas Wilayan Udara 1 (MAWILUD 1).
“Eksesais ini bertujuan untuk memperkasakan kesiagaan dan kecekapan anak kapal pesawat EC 725 AP, anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) dan kumpulan sokongan logistik,
“Pelaksanaan eksesais ini turut melibatkan usaha sama bersepadu antara PASKAU, No. 10 Skuadron serta pasukan sahabat yang lain,” katanya.
Menurutnya, antara latihan yang dilaksanakan di dalam eksesais ini adalah latihan Roll Up Duck dan Life Hoisting menggunakan Transaco Stretcher.
Selain itu, anak kapal dan anggota PASKAU juga turut terlibat di dalam latihan Wet Winching serta Dinghy Drill bagi anak kapal No. 12 Skuadron.
Katanya, latihan ini melibatkan anggota PASKAU yang diketuai Brigedier Jeneral Meor Ahmad Kamal Meor Termizi TUDM, anak kapal dan juruteknik dari 10 Skn pula diketuai Leftenan Kolonel Muhammad Fazri Md Zin TUDM.
Jelasnya, eksesais kali ini telah mencapai objektif yang telah ditetapkan.
“Hasil usaha bersepadu pelbagai agensi yang terlibat telah menjadikan eksesais ini berjaya dilaksanakan dalam memperkasa tahap kompetensi dan kesiagaan anggota TUDM sebagai persediaan sekiranya konflik sebenar berlaku,” ujarnya. – airtimes.my