Home Politik Bukan 8, tapi lebih ramai yang tarik balik sokongan – Zahid

Bukan 8, tapi lebih ramai yang tarik balik sokongan – Zahid

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bilangan Ahli Parlimen parti itu yang tidak menyokong Perdana Menteri adalah lebih ramai daripada yang diwar-warkan.

“Kenyataan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas mendakwa Kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar,

“Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan 8 Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Mohamad Yassin sebagai Perdana Menteri,

“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zahid, kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong.

“Saya telah mengutus warkah kepada Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Zahid turut mencabar kerajaan untuk membuat Sidang Khas Parlimen bagi membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sesi yang dijadualkan berlangsung September ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam perutusan khasnya menyatakan hanya seramai 8 orang Ahli Parlimen UMNO yang menarik balik sokongan terhadap beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply