Home Semasa Usul tindakan terhadap Peguam Negara: Speaker Dewan Rakyat ambil sikap berkecuali

Usul tindakan terhadap Peguam Negara: Speaker Dewan Rakyat ambil sikap berkecuali

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan bahawa akan mengambil sikap berkecuali melibatkan usul yang dimajukan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran kepadanya, pada Khamis.

Menurut beliau, usul tersebut adalah bersangkutan dan mengenai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Sebagaimana yang diketahui umum, Tan Sri Idrus Harun ialah abang kandung saya,

“Oleh itu, saya telah membuat keputusan untuk mengecualikan diri dari membuat apa-apa keputusan berkenaan atau yang bagaimana jua berkaitan usul tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azhar, keputusan mengenai usul tersebut akan diserahkan kepada Timbalan-timbalan Yang di-Pertua mengikut kedudukkan kekanan mereka.

“Pertamanya ialah Yang Berhormat (YB) Datuk Mohd Rashid Hasnon dan keduanya YB Datuk Seri Azalina Othman Said,

“Saya tidak akan campur tangan di dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas Timbalan Yang di-Pertua di dalam hal berkaitan,” ujarnya.

Menerusi usul tersebut, Kulasegaran meminta satu tindakan dapat diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Usul tersebut diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 29 Julai itu berkata, kenyataan tersebut merujuk kepada ucapan Takiyuddin di Parlimen pada 26, 27 dan 28 Julai yang turut dianggap menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply