Home Semasa ‘Kerajaan Allah’: Kit Siang mohon maaf, salah faham kenyataan Abdul Hadi

‘Kerajaan Allah’: Kit Siang mohon maaf, salah faham kenyataan Abdul Hadi

by Air Times News Network

KUALA LUNMPUR, 7 Jul – Veteran DAP, Lim Kit Siang tampil memohon maaf kerana salah faham dengan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai ‘kerajaan Allah’ dalam hantaran di media sosialnya, pada Isnin.

Beliau berkata, setelah membaca laporan media, beliau telah berpandangan ‘kerajaan Allah’ yang disebut Abdul Hadi merujuk kepada kerajaan Islam, termasuklah kerajaan Perikatan Nasional yang sering mendakwa mereka adalah ‘kerajaan Melayu-Islam’.

“Atas pemahaman ini, saya telah mengeluarkan kenyataan semalam (Isnin) yang kemudian telah dimuat naik ke platform media sosial saya,

“Saya mempersoalkan kenyataan tersebut kerana menyangka bahawa Abdul Hadi menyatakan bahawa hanya sebuah kerajaan Islam dapat menangani COVID-19.

“Saya langsung tidak berniat untuk mempersoalkan mana-mana agama atau kepercayaan, mahupun agama Islam, dan niat saya hanyalah untuk menulis respons kepada apa yang dilaporkan sebagai dikatakan oleh Abdul Hadi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, beliau telah dimaklumkan bahawa telah silap dalam pemahaman mengenai apa yang dikatakan oleh Abdul Hadi yang mana bukan merujuk kepada ‘kerajaan Islam’.

“Atas kesedaran ini, saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut yang berdasarkan pemahaman yang salah mengenai kenyataan Abdul Hadi,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, sebagai salah satu parti komponen kerajaan Perikatan Nasional, PAS perlu bertanggungjawab kerana menyebabkan Malaysia menjadi salah satu negara dengan prestasi pengendalian COVID-19 yang terburuk di dunia.

“Malaysia kini berhadapan dengan masalah besar, di mana negara kita sedang menjunam pantas menjadi salah satu negara dengan prestasi COVID-19 yang terburuk di dunia,” ujarnya.

Katanya, memandangkan wabak koronavirus ini tidak membezakan antara kaum, agama, kawasan, atau politik dalam menjangkiti umat manusia, semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik perlulah bersatu padu untuk memenangi perang melawan wabak COVID-19 ini.  – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply