KUALA LUMPUR, 21 Jun – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan berkata, bagaimanapun, proses penyembelihan haiwan, melapah dan pembungkusan daging korban hanya dibenarkan di rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan mengikut penyelarasan JAWI menerusi Pejabat Pentadbiran Zon.
Beliau turut berkata, pengagihan daging korban juga perlu dibuat secara terus kepada peserta, fakir miskin, petugas barisan hadapan dan golongan sasar.
“Selain itu, pelaksanaan ibadah korban di kawasan lapang selain masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut dibenarkan dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), JAWI dan Pejabat Kesihatan Daerah,
“Had kapasiti sembelihan korban adalah tidak melebihi 5 ekor sehari dan bilangan kehadiran termasuk petugas tidak melebihi 12 orang,” katanya,
Tambah Mohd Ajib, semua kebenaran itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi memastikan ibadah korban dapat dihayati dan kemasalahan semua pihak sentiasa terpelihara.-airtimes.my