KUALA LUMPUR, 17 Jun – Raja-Raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan meneruskan darurat selepas 1 Ogos selain pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.
Perkara itu dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan selepas Raja-Raja Melayu menghadiri perbincangan khas di Istana Negara, semalam.
Menurut kenyataan itu, Raja-Raja juga sependapat dengan Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen perlu bersidang segera.
“Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021,
“Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,
“Dalam semangat tersebut Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, malam tadi.
Raja-Raja Pemerintah telah sependapat dalam perkara-perkara berikut:-
- Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara- perkara lain.
- Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.
- Program menangani wabak COVID-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.
- Kaedah menangani wabak COVID-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.
- Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.
- Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.
- Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.
Semalam, Raja-Raja Melayu telah menghadiri perbincangan khas bersama Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan usaha kerajaan dalam memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
Perbincagan ini merupakan kali kedua diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta pada 31 Januari 2019.
Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dianjurkan dan berlangsung pada 25 Oktober lalu di Istana Negara.-airtimes.my