Home Semasa Buka Parlimen secepat mungkin atau undur diri

Buka Parlimen secepat mungkin atau undur diri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin perlu menjunjung titah dan menasihati Seri Paduka Baginda Agong, Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersama berkata, sekiranya Perdana Menteri enggan menasihati Seri Paduka Baginda dengan segera, beliau seharusnya mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri dari kerajaan.

“Majlis Presiden PH menjunjung kasih pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang telah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam,

“Majlis Presiden turut menjunjung kasih di atas titah Tuanku bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin,
“Kami juga mengambil maklum kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang segera,

“Oleh itu, adalah teramat jelas bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin,” katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PH berkata, dengan pembukaan Parlimen, Ordinan-ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.

“Sekiranya PM terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Seri Paduka Baginda, malah memberi gambaran bahawa PM telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir,” tambah mereka.

Pada Rabu, Majlis Raja-Raja Melayu yang hadir perbincangan khas bersama Yang di-Pertuan Agong berpendapat darurat tidak perlu disambung lagi selepas 1 Ogos selain pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply